Dividen KWSP 2025: Apa yang perlu pencarum tahu

SHAH ALAM – Pengumuman dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah memberi kelegaan kepada jutaan pencarum yang bergantung kepada simpanan itu sebagai persediaan hari persaraan.Namun, seperti kelaziman setiap kali pengumuman dibuat, dividen tersebut turut mencetuskan pelbagai persepsi dalam kalangan segelintir pencarum, termasuk ada yang menyifatkan kadarnya sedikit rendah berbanding jangkaan khususnya apabila dikaitkan dengan laporan mengenai 12 subsidiari KWSP yang mencatatkan kerugian.Dalam masa sama, wujud tanggapan bahawa keadaan ekonomi negara yang semakin stabil serta pengukuhan ringgit sepatutnya menterjemahkan pulangan dividen yang lebih tinggi, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada prestasi pelaburan KWSP benar-benar seiring dengan perkembangan ekonomi semasa.Pada masa yang sama, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 turut melaporkan bahawa sebanyak 12 subsidiari KWSP mengalami kerugian, sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan sebahagian pihak mengenai kesannya terhadap prestasi pelaburan keseluruhan dana itu.Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai menegaskan, prestasi KWSP tidak boleh dinilai berdasarkan keuntungan atau kerugian beberapa subsidiari sahaja, sebaliknya melalui keseluruhan strategi dan struktur pelaburan dana itu.Beliau berkata, KWSP juga membuat banyak pelaburan untuk mengembangkan simpanan ahli dalam jangka panjang. "Walaupun sesetengah subsidiari mungkin melaporkan kerugian jangka pendek, ia adalah sebahagian daripada strategi pelaburan yang dipelbagaikan bagi mengimbangi risiko dan memastikan pulangan yang mampan."KWSP kini menguruskan aset pelaburan bernilai kira-kira RM1.4 trilion dan daripada jumlah itu sebanyak 45 peratus dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap seperti sukuk, bon dan hartanah selain pelaburan dalam pasaran wang sebanyak tiga peratus."Sebanyak 10 peratus lagi dilaburkan dalam pasaran swasta termasuk ekuiti swasta. Ia turut melibatkan 12 subsidiari KWSP yang dilaporkan alami kerugian. Sememangnya KWSP juga sudah menjangkakan risiko kerugian itu dalam beberapa pelaburan tetapi mereka yakin akan memperolehi keuntungan dalam satu dua pelaburan yang boleh menampung semua kerugian itu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.Pada Sabtu, KWSP mengumumkan kadar dividen masing-masing sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 melibatkan jumlah agihan masing-masing sebanyak RM67.1 bilion dan RM12.5 billion.Mengulas lanjut, Barjoyai menjelaskan, keuntungan berkenaan akan menampung pada kadar yang besar seterusnya akan membantu melonjakkan prestasi KWSP berbanding pelaburan dalam instrumen berpendapatan tetap."Pelaburan dalam pendapatan tetap memang stabil tetapi setiap tahun pulangannya hanya antara empat hingga lima peratus sahaja dan jumlahnya tidak akan naik lebih daripada itu. Jadi sebenarnya kerugian di dalam ekuiti swasta itu bukanlah suatu perkara besar yang menentukan prestasi keseluruhan," ujarnya.Mengenai persepsi bahawa dividen sepatutnya lebih tinggi apabila ekonomi negara dan ringgit kukuh, Barjoyai berkata, tanggapan itu tidak tepat.Menurutnya, ekonomi yang semakin baik dan ringgit yang mengukuh tidak semestinya akan menyebabkan berlaku peningkatan dalam pendapatan KWSP sebaliknya memberi tambahan beban dalam usaha KWSP memberikan pulangan dividen."Ringgit hari ini adalah antara mata wang yang terbaik di dunia kerana telah meningkat sebanyak 10 peratus berbanding mata wang lain khususnya dolar Amerika Syarikat (AS). Tetapi kita kena ingat bahawa sebanyak 39 peratus pelaburan KWSP adalah dalam pasaran antarabangsa dan ia kebanyakannya dibuat dalam dolar AS."Apabila dolar AS menurun berbanding ringgit maknanya nilai pelaburan itu menurun juga. Jadi walaupun pelaburan itu memberikan keuntungan, namun setelah mengambil kira pertukaran asing kerana ia perlu ditukar balik ke ringgit untuk mengira keuntungan, ia menunjukkan kadar keuntungan yang lebih rendah," jelasnya lagi.Disebabkan situasi berkenaan, kata Barjoyai, prestasi pelaburan antarabangsa KWSP menunjukkan kemerosotan.Tambahnya, dividen tahunan bukanlah gambaran langsung prestasi ekonomi setahun atau pergerakan ringgit sebaliknya, ia mencerminkan pengurusan teliti KWSP dalam menyediakan pulangan yang stabil dan boleh dipercayai kepada ahli dari tahun ke tahun.Bukan gambaran keseluruhan dana KWSPSementara itu, Pensyarah Kanan School of Management and Business, MILA University, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, angka kerugian subsidiari itu timbul dalam konteks dapatan audit yang menilai prestasi entiti tertentu dan bukannya menggambarkan ‘kesihatan’ keseluruhan dana KWSP. Beliau memaklumkan, LKAN 1/2026 sendiri menyebut kerugian subsidiari yang dilaporkan dalam penyata kewangan beraudit lazimnya mengambil kira elemen perakaunan seperti rosot nilai serta bayaran faedah kepada agensi induk mengikut piawaian perakaunan."Maksudnya, kerugian di peringkat entiti boleh wujud serentak dengan pulangan yang masih mengalir kepada induk melalui mekanisme faedah atau dividen, bergantung kepada struktur pembiayaan dan pelaburan. "Kedua, kerajaan melalui Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, turut menghuraikan bahawa kerugian melibatkan 12 subsidiari KWSP itu telah dikategorikan kepada lima punca utama. Antara yang paling kerap disalah faham ialah struktur modal, apabila pinjaman pemegang saham digunakan untuk menjana pulangan faedah yang cekap tetapi selepas kos faedah diambil kira, entiti boleh ‘nampak rugi’ pada kertas," katanya.Ujar Mohamad Khair Afham, ia turut membabitkan fasa awal pelaburan (keluk J) yang lazimnya mencatat kerugian sebelum matang, pelarasan nilai saksama belum direalisasi yang sensitif kepada turun naik pasaran, struktur perniagaan yang menyebabkan pulangan ke induk berlaku melalui saluran tertentu dan sebahagian kecil kerugian operasi. Namun, beliau menegaskan, hakikat sebenarnya banyak komponen berkenaan bersifat perakaunan, bukan semestinya kerugian tunai yang menjejaskan kemampuan KWSP mengagih dividen. "Satu lagi persepsi yang perlu dibetulkan ialah andaian ‘ekonomi dan ringgit kukuh, jadi dividen mesti naik’. Dividen KWSP lebih rapat dengan pulangan pelaburan mengikut kelas aset dan pasaran serta bagaimana keuntungan direalisasikan, bukannya bergerak satu lawan satu dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau sentimen umum ekonomi. "KWSP, misalnya, pernah memaklumkan bahawa pelaburan antarabangsa merangkumi kira kira 39 peratus daripada jumlah aset setakat 31 Disember 2025 dan strategi global menyumbang bahagian besar kepada pendapatan pelaburan pada tempoh tertentu," jelasnya.Dalam konteks terbabit, kata beliau, ringgit yang mengukuh boleh mengurangkan nilai pulangan luar negara apabila ditukar semula ke ringgit, walaupun aset di luar negara itu sebenarnya naik dalam mata wang asal.