SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) memperuntukkan kira-kira RM40,000 bagi menaja program Iftar Student Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dengkil yang memberi manfaat kepada kira-kira 500 mahasiswa serta tenaga pengajar.Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBWM, Mahfuzah Muhamad Tarmidi berkata, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan syarikat yang dilaksanakan dengan kerjasama bersama institusi pendidikan.Beliau berkata, bagi tiga tahun sebelum ini, KDEBWM menjalinkan kerjasama bersama Sinar Harian menerusi program Iftar Ala Madinah yang menyasarkan kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung setiap tahun."Dalam program itu, selain berbuka puasa bersama, pihak KDEBWM turut membuat perkongsian dan menyampaikan mesej kebersihan serta alam sekitar kepada para pengunjung."Pada tahun lalu pula, kita memulakan program iftar bersama mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan sasaran 500 mahasiswa dan tenaga pengajar, namun kehadiran mencecah kira-kira 700 orang. "Sambutan itu menunjukkan ada keperluan untuk kita menyantuni golongan mahasiswa di IPTA dan IPTS," ujarnya kepada Sinar Harian ketika ditemui di ibu pejabat KDEBWM di sini. Berdasarkan sambutan menggalakkan itu, jelasnya, KDEBWM memilih UiTM Kampus Dengkil sebagai lokasi penganjuran tahun ini dengan kerjasama pihak universiti.Beliau berkata, pemilihan itu mengambil kira latar belakang mahasiswa yang datang dari seluruh negara, termasuk dalam kalangan yang kurang berkemampuan dan memerlukan sokongan pihak korporat."Mahasiswa ini bukan semuanya daripada latar belakang berkemampuan. Ada yang berdepan kekangan kewangan sepanjang tempoh pengajian."Apabila ada pihak korporat tampil menaja program iftar, ia sangat dialu-alukan oleh pihak universiti dan secara tidak langsung membantu meringankan beban pelajar," katanya.Daripada jumlah peruntukan RM40,000 itu, ia merangkumi penyediaan juadah berbuka puasa serta 100 set goodies istimewa kepada 100 pelajar terawal yang mendaftar.Mahfuzah berkata, objektif utama program itu bukan sahaja menyantuni mahasiswa, malah menyampaikan mesej kebersihan dan tanggungjawab menjaga alam sekitar."Tanggungjawab kebersihan bukan hanya terletak pada KDEBWM semata-mata, tetapi perlu digalas semua pihak."Kita melihat mahasiswa sebagai golongan penting dan ejen perubahan dalam komuniti. Kita mahu mereka membantu menyebarluaskan mesej kebersihan dan alam sekitar di kampus serta dalam masyarakat," katanya.Beliau berkata, agenda kebersihan juga selaras dengan aspirasi negeri Selangor yang turut menekankan kepentingan aspek berkenaan dalam amanat tahun 2026 Menteri Besar Selangor."Isu kebersihan bukan sahaja dituntut oleh agama, malah menjadi agenda penting negeri."Selaras dengan misi KDEBWM dan sempena Ramadan ini, kita mengambil peluang untuk membawa mahasiswa bersama-sama menjadikan kebersihan sebagai agenda utama di Selangor," tambahnya.