Sidang Dewan Rakyat tangguh lima minit gara-gara Hamzah

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat sesi pagi pada Selasa ditangguhkan selama lima susulan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak berpuas hati dengan keputusan Timbalan Speaker, Datuk Dr Ramli Mohd Nor.Suasana tegang bermula apabila Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut bangkit meminta supaya pembangkang diberi ruang untuk bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, namun Ramli memaklumkan ia telah melebihi masa ditetapkan.Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Hamzah tetap meminta agar pembangkang diberi lebih masa untuk bertanyakan soalan kepada Anwar mengenai isu wujud gerakan untuk menjatuhkan kerajaan."Sebagai Ketua Pembangkang, saya ingin mendapatkan sedikit penjelasan... kami mohon sebab Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kata boleh beri kerjasama," ujar Hamzah.Bagaimanapun Ramli tetap dengan keputusan untuk menamatkan sesi berkenaan dan diteruskan dengan Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan."Yang berhormat saya sudah putuskan. saya ambil keputusan tidak benarkan. Jadi, sila duduk," katanya.Tidak berpuas hati dengan keputusan Timbalan Speaker itu, beberapa ahli Parlimen pembangkang lain bangkit mempersoalkan tindakan yang dibuat Ahli Parlimen Cameron Highlands berkenaan.Ramli kemudian memutuskan persidangan ditangguhkan selama lima minit untuk meleraikan ketegangan sebelum ia diteruskan selepas itu.