RM15.5 bilion aset berkait rasuah berjaya diperoleh semula SPRM dalam tempoh 3 tahun - PM

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM15.5 bilion wang dan aset berjaya diperoleh semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes-kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa untuk tempoh 2023 hingga 2025.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu hasil tindakan bersama diambil Pasukan Petugas Agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) dalam pelbagai kes berkait rasuah termasuk melibatkan kes berprofil tinggi."Pada keseluruhannya, dari tahun 2023 hingga 2025, ada peningkatan yang mendadak. Maknanya walaupun tindakan ada diambil sebelumnya, tetapi tindakan-tindakan itu tidak sepertimana yang berlaku setelah 2023."Sebagai contohnya, saya sebut di sini, 2018 iaitu RM37 juta permulangan aset keseluruhannyan dan 2019 iaitu RM1.2 bilion. Pada 2023 hingga 2025, dengan usaha SPRM dan agensi lain yang saya sebut tadi, ia sudah mencecah RM15.5 bilion."Ini menyebabkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) kita meningkat, langkah-langkah akan terus diambil, tetapi melalui perkongsian maklumat dan kerjasama rapi di antara badan-badan penguatkuasaan disebutkan tadi," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) yang memintanya menyatakan jumlah keseluruhan wang dan aset yang berjaya diperoleh semula oleh SPRM sepanjang tahun 2025 dalam kes-kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.Anwar dalam masa sama turut memaklumkan mengenai tindakan yang diambil bagi tempoh November tahun lalu hingga Februari tahun ini melibatkan beberapa kes berprofil tinggi termasuk melibatkan pendakwaan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanannya.Tindakan lain yang turut diambil tindakan katanya, melibatkan pertuduhan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, empat pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa berhubung tuduhan salah guna kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram dan tangkapan Ketua Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar."Ini menunjukkan bahawa kesungguhan kita dalam melaksanakan tugas lebih nyata dan ketara setelah ditegaskan dalam tatakelola Kerajaan Madani.Saya nak ucapkan syabas kepada Kerajaan Madani dan juga SPRM yang telah membawa tindakan yang begitu tegas," katanya.