Pelakon wanita, suami disyaki tipu jual tanah libat kerugian RM1.5 Juta

SEREMBAN - Polis daerah ini menerima satu laporan berhubung kes penipuan berkaitan urusan penjualan tanah lot kurniaan membabitkan kerugian sebanyak RM1.5 juta, dipercayai melibatkan seorang pelakon wanita dan suaminya.Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, laporan berkenaan dibuat oleh seorang lelaki berusia 56 tahun pada 7 Januari lalu."Wanita itu bersama suaminya dipercayai suspek dalam satu kes penipuan di daerah ini melibatkan penjualan tanah kurniaan Negeri Sembilan yang tidak wujud melibatkan kerugian RM1.5 juta."Tapi setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan yang mengaitkan pelakon berkenaan dengan kes penipuan barangan kosmetik seperti yang dilaporkan media sebelum ini," katanya kepada pemberita pada Selasa.Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan beberapa tindakan awal telah diambil kerana kedua-dua suspek dipercayai tidak berada di Semenanjung Malaysia.Tambahnya, berdasarkan maklumat terkini, pasangan terbabit dikatakan berada di Sarawak."Kedua-duanya telah didaftarkan sebagai orang dikehendaki dan dimasukkan dalam Senarai Pemantauan Khas (SPK) Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan mengesan dan menangkap mereka," katanya.Sebelum ini, sebuah portal melaporkan seorang individu menerusi platform Threads mendakwa dirinya telah ditipu oleh seorang pelakon wanita dan suaminya sebanyak RM300,000.Dia mendakwa ramai lagi yang menjadi mangsa dan turut memuat naik bukti tangkap layar kad pengenalan milik pelakon wanita itu dan suaminya.Selain itu, dia memohon bantuan ramai untuk menjejak pasangan berkenaan.