Muhyiddin janggal duduk sebelah Hamzah

PETALING JAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui berasa janggal untuk duduk bersebelahan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat terutama selepas Hamzah menamakannya sebagai ‘musuh nombor satu’ pada waktu ini.Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ia juga menjadi antara sebab beliau tidak menghadiri persidangan Parlimen minggu ini."Saya tak pergi ke Parlimen (minggu ini), satu sebab saya tidak berapa sihat."Keduanya bila dengar duduk sebelah Hamzah... saya tak nak duduklah. To be frank, it's not that because I want to be absent (terus terang, bukan kerana saya tidak mahu hadir), (tetapi) janggal sepatutnya kan?" katanya semasa Wawancara Khas bersama media tempatan di Ibu Pejabat Bersatu di sini pada Isnin.Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu sebelum ini mengisytiharkan dirinya sebagai penentang utama Muhyiddin dan menyebutnya sebagai ‘musuh nombor satu’ Presiden parti itu selepas dipecat keahliannya daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.Sebelum ini, tular foto kerusi Muhyiddin yang kosong di Dewan Rakyat manakala Hamzah yang duduk bersebelahan dengan Muhyiddin tetap hadir.Pada masa sama, Muhyiddin menegaskan bahawa Hamzah sepatutnya insaf dan sedar bahawa beliau bukan lagi Ketua Pembangkang dan sepatutnya berundur dengan baik."The best thing is for him to leave (cara terbaik bagi beliau adalah berundur). Saya sendiri ada cakap dengannya pergi cara baik. Tapi beliau kata tidak, sebab saya masih tidak terpecat lagilah. Hang hendak tunggu orang pecat?" katanya.