Berkaki ayam lari serbuan Imigresen

SHAH ALAM - Cubaan segelintir pekerja warga asing untuk 'menyelamatkan' diri semasa serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah gudang bateri di Seksyen 23 di sini hanya sia-sia selepas dicekup pada Selasa.Itu antara tindakan pekerja warga asing semasa Op Mahir yang dijalankan JIM Selangor dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).Semasa melarikan diri, ada antara lelaki warga asing itu terjatuh selain hanya berkaki ayam.Selepas ditahan, seorang lelaki warga Bangladesh hanya mampu menundukkan wajah selain mendakwa dia tidak mempunyai pasport.Selain itu, ketika diserbu terdapat juga segelintir pekerja asing yang sedang berehat dan menjamu makanan.Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi terbabit telah menahan 41 lelaki disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI)."Semakan mendapati mereka terdiri daripada 23 Bangladesh, Pakistan (9 orang), Myanmar (7 orang) dan dua India."Antara kesalahan dikesan ialah tinggal lebih masa serta langgar syarat pas. Misalnya mereka bekerja di gudang bateri, namun pas kerja di sektor pembinaan dan perladangan."Tindakan diambil mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini.Tambahnya, JIM akan memanggil majikan gudang terbabit untuk siasatan lanjut, manakala kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.Dalam serbuan seterusnya di sebuah gudang perkakasan elektrik di Shah Alam, JIM telah menahan 42 individu disyaki PATI terdiri daripada warga India seramai 22 orang, Bangladesh (9), Sri Lanka (8) dan Nepal (3).Selain itu, operasi bersepadu JIM Selangor bermula jam 10 pagi itu turut menggempur sebuah kilang kotak di Kuala Langat dan sebuah gudang besi di Shah Alam."Serbuan di dua lokasi ini memeriksa 121 warga asing dan kesemua mereka didapati mematuhi syarat pas serta memiliki dokumen lengkap."Saya puji majikan yang macam ini kerana semuanya (pekerja) 'proper'. Ini satu indikator yang baik," ujarnya.