Politik sempit gagalkan usaha lulus RUU had tempoh jawatan PM - Mahfuz

ALOR SETAR – Kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun diluluskan di Dewan Rakyat disifatkan sebagai akibat politik sempit pembangkang yang menghalang agenda reformasi institusi negara.Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar kecewa apabila usul pindaan Perlembagaan Persekutuan itu gagal memperoleh majoriti dua pertiga walaupun hanya kekurangan dua undi.Menurutnya, reformasi berkenaan bukan agenda politik mana-mana parti, sebaliknya merupakan keperluan negara yang turut dizahirkan dalam titah rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa pembukaan Parlimen."Persoalan besar timbul sama ada kita benar-benar serius mahu melakukan pembaharuan atau sekadar retorik perubahan tanpa keberanian melaksanakannya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Pada Isnin, RUU berkenaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat pada bacaan kali kedua apabila hanya 146 ahli Parlimen menyokong usul tersebut.Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika mengumumkan keputusan itu memaklumkan seramai 44 ahli Parlimen memilih untuk berkecuali manakala 32 lagi tidak hadir.Beliau berkata, had tempoh jawatan Perdana Menteri bukan soal individu atau serangan kepada mana-mana pihak, sebaliknya satu mekanisme demokrasi bagi mengelakkan penumpuan kuasa berpanjangan serta memastikan peredaran kepimpinan yang sihat.Menurutnya, langkah itu juga penting bagi memperkukuh sistem semak dan imbang serta menghalang politik berkepentingan."Tindakan menolak reformasi berkenaan atau memilih untuk tidak hadir dalam pengundian penting itu merupakan kegagalan moral terhadap amanah rakyat."Ahli Parlimen dipilih untuk hadir dan membuat keputusan dalam detik penting negara, bukan berdiam diri ketika masa depan institusi dipertaruhkan," ujarnya.Beliau menegaskan, sejarah akan mencatat bahawa negara hampir melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh institusi demokrasi, namun digagalkan oleh sikap politik sempit dan kurangnya komitmen terhadap reformasi.Bagaimanapun, katanya, perjuangan memperkukuh institusi negara tidak akan terhenti."Reformasi bukan pilihan politik, ia adalah tuntutan masa depan negara. Kuasa adalah amanah dan amanah yang tidak dihadkan akhirnya boleh merosakkan sistem."Kita mungkin tewas dua undi hari ini, tetapi prinsip reformasi tidak akan pernah kalah," katanya lagi.