KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Malaysia terus memantau rapi perkembangan di Timur Tengah dan kekal dalam penyelarasan erat dengan perwakilan diplomatik Malaysia di wilayah yang terjejas, dengan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi.Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa, kementerian itu menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sambil memaklumkan bahawa nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan sebelum ini kekal berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak."Di Emiriah Arab Bersatu, operasi penerbangan diteruskan secara terhad dan masih tertakluk kepada pelarasan operasi."Pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan panduan meminta pihak hotel membenarkan tetamu yang terjejas akibat gangguan penerbangan untuk melanjutkan penginapan mereka di bawah syarat tempahan sedia ada, serta memaklumkan pihak berkuasa sekiranya tetamu menghadapi kesulitan untuk menanggung kos berkenaan," menurut kenyataan itu.Kementerian memaklumkan bahawa Kedutaan dan Konsulat Malaysia sedang menyalurkan maklumat mengenai panduan itu kepada rakyat Malaysia serta membantu mereka berurusan dengan pihak hotel jika perlu.Rakyat Malaysia yang telah menghubungi pihak perwakilan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.Mengenai situasi di Arab Saudi, tumpuan kementerian kekal kepada jemaah umrah Malaysia yang terjejas akibat gangguan penerbangan komersial.Konsulat Jeneral di Jeddah telah mengaktifkan Bilik Operasi 24 jam dan terus menyelaras dengan pihak berkepentingan berkaitan bagi menjaga kebajikan jemaah, sementara rundingan dengan syarikat penerbangan masih berjalan.Rakyat Malaysia yang menghubungi pihak perwakilan itu dilaporkan selamat.Kementerian turut memantau rapi situasi melibatkan rakyat Malaysia di Lubnan, Qatar, Iraq, Jordan dan Syria.Di Qatar, insiden baru-baru ini telah menyebabkan pihak berkuasa tempatan melaksanakan langkah-langkah pencegahan, dan perkembangan di sana kekal di bawah pemerhatian rapi.Di Lubnan pula, rakyat Malaysia yang berdaftar dengan pihak perwakilan dilaporkan selamat, termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat di bawah Batalion Malaysia (MALBATT) bersama UNIFIL.Menurut kenyataan itu bahawa di seluruh Iraq, Jordan dan Syria, pihak perwakilan kekal berhubung dengan rakyat Malaysia dan terus menyediakan panduan konsular yang diperlukan.Rakyat Malaysia yang telah berhubung dengan misi berkenaan dilaporkan selamat."Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri di Parlimen, kementerian terus memantau perkembangan dengan teliti dan mengekalkan langkah kesiapsiagaan sebagai sebahagian daripada perancangan luar jangka yang berhemat."Sebarang keputusan masa hadapan akan dipandu oleh penilaian keselamatan berterusan yang dijalankan mengikut negara yang dirujuk," menurut kenyataan itu lagi.Kementerian kini sedang mengemas kini rekod rakyat Malaysia di wilayah terjejas yang dianggarkan berjumlah kira-kira 29,000 orang.Bagi memudahkan komunikasi yang tepat dan penyebaran maklumat rasmi tepat pada masanya, Wisma Putra amat menggalakkan rakyat Malaysia yang belum berbuat demikian untuk mendaftar melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my dan sentiasa berhubung dengan perwakilan diplomatik Malaysia yang terdekat.Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul digalakkan menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia terdekat melalui nombor telefon dan alamat e-mel rasmi yang telah disediakan sebelum ini.Bilik operasi kementerian di Putrajaya kekal aktif sepenuhnya selama 24 jam dan boleh dihubungi di talian +603-88874570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my sekiranya bantuan lanjut diperlukan.- Bernama