Dakwaan PMX tidak punyai sokongan kuat susulan RUU gagal tidak tepat

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sokongan kuat di Dewan Rakyat susulan kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 memperoleh majoriti dua pertiga disifatkan sebagai tidak tepat.Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, naratif yang dibina Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim itu tidak berasaskan fakta sebenar perjalanan undian di Dewan Rakyat.Menurutnya, blok Pakatan Harapan memberikan sokongan 100 peratus apabila semua Ahli Parlimen hadir dan mengundi menyokong pindaan yang mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun."Kegagalan mencapai dua pertiga berlaku kerana ketidakhadiran dan kurangnya komitmen daripada sebahagian Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sendiri."Dalam demokrasi, angka tidak berbohong. Kehadiran tidak boleh digantikan dengan kenyataan media. Dan disiplin blok tidak boleh diselamatkan dengan retorik selepas undi selesai," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Selasa.Sebelum ini, Gulam Muszaffar melalui satu hantaran Facebook mendakwa, kegagalan RUU bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri diluluskan membuktikan Ahli Parlimen Tambun itu tidak mempunyai sokongan kuat dalam Dewan Rakyat, meskipun ada 154 ahli parlimen.Bagaimanapun, Afdlin Shauki menegaskan, tidak wajar untuk pihak yang gagal memastikan kehadiran penuh barisan sendiri kemudian menuding jari dan cuba membina persepsi bahawa kerajaan tidak stabil.Mengulas lanjut, beliau berpandangan, pindaan berkenaan bukan soal individu, sebaliknya soal had kuasa dan memastikan tiada Perdana Menteri ketika ini atau akan datang boleh memegang kuasa terlalu lama tanpa semak serta imbang."Ironinya, apabila peluang untuk menyokong had kuasa itu terbuka, ada yang tidak hadir dan kemudian menyalahkan kerajaan yang membawanya."Itu bukan keberanian politik. Itu pengalihan tanggungjawab," menurut beliau lagi.Afdlin Shauki menyifatkan, rakyat Malaysia semakin matang dan mampu menilai siapa yang konsisten memperjuangkan reformasi serta siapa yang hanya lantang ketika kamera terpasang.Beliau memaklumkan, kerajaan Madani akan terus melaksanakan agenda reformasi institusi dengan tenang dan berprinsip serta tidak akan terperangkap dalam politik persepsi."Tetapi kami juga tidak akan membiarkan fakta diputarbelitkan tanpa jawapan," katanya.Tambahnya, jika ada pihak yang benar-benar ikhlas mahu reformasi, ia perlu dibuktikan dengan disiplin, kehadiran dan undi, bukan dengan naratif selepas kegagalan berlaku."Dan jika mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri pun sukar untuk disokong secara konsisten, maka rakyat berhak bertanya apakah sebenarnya keberatan terhadap pembatasan kuasa," ujarnya.Tambah beliau, dalam politik moden, keberanian sebenar bukanlah bercita-cita memegang jawatan selama mungkin tetapi berani meletakkan had terhadap kuasa, termasuk kuasa diri sendiri."Rakyat tidak perlu tahu siapa yang mahu berkuasa lama. Yang rakyat mahu tahu ialah siapa yang sanggup menghadkan kuasa."Selebihnya, biarlah rekod kehadiran dan undi menjadi jawapan," kongsinya.