Kawal tempo dan sekat Sanfrecce Hiroshima - Munoz

STADIUM Sultan Ibrahim (SSI) bakal menjadi saksi kepada satu lagi pertembungan epik pada Rabu apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) memulakan misi memburu slot suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima.Menyedari kekuatan Sanfrecce, pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz menegaskan kawalan tempo dan disiplin adalah kunci pada pertemuan pertama pusingan 16 itu, sambil menuntut benteng pertahanan lebih kukuh dan teratur bagi menangkis asakan lawan."Kita perlu bijak mengawal permainan kerana Sanfrecce Hiroshima memiliki barisan pemain berkualiti, terutama dalam situasi satu lawan satu."Corak permainan set-piece mereka juga berbahaya dan boleh memerangkap benteng JDT jika tidak berhati-hati," kata Munoz pada sidang media praperlawanan di SSI pada Selasa.Dalam pada itu, Munoz turut mengesahkan bahawa Jonathan Silva dan Oscar Arribas yang sebelum ini digantung, kini layak untuk beraksi.Namun, pengendali kelahiran Sepanyol itu enggan mendedahkan sama ada kedua-dua pemain akan berada dalam kesebelasan utama."Saya perlu `berahsia’ siapa akan beraksi kerana dedahan awal akan memudahkan pasukan lawan merangka strategi."Apa yang pasti, saya amat bertuah mempunyai barisan pemain terbaik yang bersedia," ujar Munoz.Harimau Selatan tewas tipis 1-2 kepada kelab Liga 1 Jepun (Liha J1) itu pada aksi kumpulan Zon Timur di Stadium Edion Peace Wing, Hiroshima pada 10 Februari lalu ketika beraksi dengan 10 pemain pada awal babak pertama.