Tragedi memancing: Abang lemas, adik masih hilang

KOTA KINABALU - Seorang lelaki dilaporkan lemas selepas terjun ke laut untuk menyelamatkan adiknya yang terjatuh akibat pelanggaran bot ketika memancing di perairan antara Pulau Sepanggar dan Pulau Gaya, awal pagi Isnin.Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Jeksin Eming, 40, berjaya dinaikkan ke atas bot sebelum dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), namun disahkan meninggal dunia pada hari yang sama, manakala adiknya, Jaidin, 30, masih belum ditemui.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kedua pada jam 9.47 malam Selasa.Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh lima kilometer dari BBP Kota Kinabalu."Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berhubung kejadian bot karam di perairan Pulau Sepanggar pada awal pagi Isnin."Menurut laporan polis, seorang mangsa lelaki dipercayai lemas selepas terjun ke laut untuk menyelamatkan adiknya yang terjatuh akibat perlanggaran dengan bot lain ketika memancing berhampiran perairan antara Sepanggar dan Pulau Gaya. "Jeksin berjaya dinaikkan ke atas bot dan dihantar ke hospital namun disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemui," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Susulan daripada itu, operasi SAR mangsa kedua masih diteruskan namun tidak menemui sebarang petunjuk."Radius operasi pencarian bersama agensi lain sejauh tiga batu nautika dan mangsa belum ditemui. "Operasi ditangguhkan pada jam 5.17 petang Selasa dan akan disambung pagi ini. Maklumat akan dikemaskini dari  semasa ke semasa," katanya.