NGO kesal RUU had 10 tahun tak lulus, dakwa dipolitikkan

SHAH ALAM - Gabungan #RasuahBusters kecewa berikutan Dewan Rakyat pada Isnin gagal meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 untuk mengehadkan tempoh maksimum 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri.Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berulang kali menegaskan bahawa RUU itu amat penting untuk dilaksanakan agar pembaharuan pada generasi kepimpinan akan datang dapat diwujudkan, di samping mengelakkan ‘pemusatan kuasa’ yang berpotensi membawa kepada jenayah rasuah dan salah guna kuasa.Beliau berkata, apabila RUU atau undang-undang itu mula diguna pakai, elemen perebutan kuasa dalaman yang menjejaskan kestabilan politik negara untuk jangka masa panjang dapat dielakkan."Kita kena wujudkan satu disiplin politik yang fokus kepada dasar, bukannya kelangsungan kuasa."Sepertimana yang kita lihat, RUU ini gagal diluluskan kerana tidak mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen. Ini bukan projek politik, ini projek untuk rakyat."Jadi, apabila timbul persepsi bahawa kerajaan 'kalah' atau tak cukup sokongan dua pertiga manakala pembangkang 'menang' sorak kerana tak mengundi menyokong, ini menggambarkan kerosakan dalam konteks legitimasi reformasi itu sendiri dan ia merugikan negara."Dalam erti kata lain, RUU dijadikan alat politik, dipartisankan walhal hasrat asalnya adalah untuk memperbaiki institusi demi rakyat," katanya kepada Sinar Harian.Bagi Nurhayati, pihaknya tidak mahu reformasi institusi yang diperlukan oleh rakyat dan negara ini menjadi mangsa kepada percaturan politik.Dalam pada itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendakwa ahli Parlimen daripada blok pembangkang sengaja menggagalkan usaha untuk meluluskan RUU berkenaan, meskipun pada mulanya berpendirian 'setuju bersyarat'.Sambil menyifatkan ia sebagai perkara yang menyedihkan, Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, timbul persoalan tentang sebab pembangkang enggan mengundi menyokong RUU itu sedangkan mereka juga boleh mendabik dada jika ia diluluskan dengan sokongan ahli Parlimen daripada blok tersebut."Lebih buruk lagi, ada yang menggunakan alasan agama kononnya tiada had tempoh pemimpin dalam Islam, ditambah pula katanya RUU ini menggugat kuasa Yang di-Pertuan Agong."Hari ini rakyat telah melihat dan menilai bahawa mereka dengan sengaja menggagalkan usaha reformasi yang baik untuk negara," katanya.Tegas Faisal, RUU had tempoh jawatan Perdana Menteri antara yang terbaik pernah dibentangkan di Parlimen.Jelasnya, ia cukup berbeza dengan RUU lain seperti RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 serta RUU Pemisahan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya."Walaupun kedua-duanya bermula dengan niat baik, namun terdapat kritikan Bersih dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) lain kerana ia tidak menepati aspirasi reformasi yang mungkin dilihat ideal oleh sebahagian pihak," ujarnya lagi.Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, M Pushpan pula berpandangan, selepas ini perbahasan RUU reformasi yang penting seperti RUU mengehadkan tempoh maksimum 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri patut didahului dengan pembentangan kepada ahli-ahli Parlimen dalam Jawatankuasa Pilihan Khas.Katanya, ia bertujuan menangani segala persoalan dan kebimbangan yang mungkin berbangkit di Dewan Rakyat kelak.Beliau berkata, usul mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sememangnya wajar diluluskan walaupun ia bukan agenda paling penting dalam memperkukuh tatakelola kerajaan."Jika ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang tidak boleh menghadirkan diri untuk mengundi usul ini, bagaimana pula dengan RUU seperti pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, atau Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Pendanaan Politik yang akan datang?" katanya.