TELUK KUMBAR – Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya ditemui meninggal dunia dalam sebuah rumah di Flat Taman Sahabat di sini pada malam Selasa.Dalam kejadian kira-kira jam 8.17 malam itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan daripada polis bagi membantu membuka pintu rumah yang berkunci dan dipercayai terdapat mangsa di dalam kediaman berkenaan.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan enam anggota termasuk penyelia digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai."Polis menerima aduan daripada jiran yang terhidu bau busuk dari rumah mangsa. Sehubungan itu, polis menghubungi bomba untuk bantuan membuka pintu rumah tersebut."Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba pada jam 8.32 malam dan menjalankan kerja-kerja membuka pintu menggunakan peralatan khas bersama pihak polis."Selepas pintu berjaya dibuka, terdapat dua mangsa ditemui masing-masing di ruang tamu dan di dalam bilik tidur," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Tambahnya, mangsa dikenal pasti sebagai Lee Tet Khim, 72, dan Lam Tong Hoong, 39."Kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi."Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.Operasi yang melibatkan sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.55 malam.