Krisis Asia Barat: Harga pengangkutan, makanan hadapi tekanan awal

PUTRAJAYA - Harga pengangkutan dan makanan dijangka menerima tekanan paling awal dan paling ketara susulan konflik geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah.Oleh yang demikian, pakar ekonomi mengingatkan kos sara hidup akan meningkat secara beransur-ansur apabila kenaikan harga minyak, kos logistik dan input pertanian disalurkan ke dalam ekonomi.Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, perkhidmatan berkaitan pengangkutan cenderung bertindak balas terlebih dahulu dalam tempoh konflik global.Beliau berkata, hal itu kerana pelarasan dalam logistik, operasi berkaitan bahan api dan kos pengangkutan komersial yang lebih pantas.Harga makanan biasanya menyusul apabila perbelanjaan bagi baja, makanan ternakan dan pengedaran yang lebih tinggi dipindahkan secara berperingkat dalam rantaian bekalan, katanya."Inflasi keseluruhan Malaysia kini pada 1.6 peratus tahun ke tahun, dengan pengangkutan pada -0.7 peratus dan makanan serta minuman pada 1.5 peratus."Kami menjangkakan inflasi meningkat kepada sekitar 2.2 peratus menjelang akhir tahun, sebahagian besarnya mencerminkan tekanan sederhana namun berterusan dalam kumpulan makanan dan perkhidmatan berkaitan pengangkutan," katanya kepada Bernama.Pelabur dalam pasaran global menjadi lebih berhati-hati pada Ahad selepas Amerika Syarikat (AS) melakukan tindakan ketenteraan terhadap Iran sekali gus meningkatkan risiko geopolitik.Ahli ekonomi turut mengingatkan keadaan itu boleh mengukuhkan sentimen elak risiko serta menjejaskan harga minyak mentah, ringgit dan aliran perdagangan.Selain itu, Mohd Sedek berkata harga minyak mentah di bawah US$90 setong hanya akan menimbulkan tekanan inflasi yang sederhana.Pada masa sama, dagangan ringgit dalam julat 3.90 hingga 4.00 berbanding dolar AS akan membantu mengekang inflasi import, katanya.Beliau berkata bagi inflasi pengangkutan, hal itu dijangka kembali normal secara beransur-ansur daripada paras negatif kepada sedikit positif, manakala inflasi makanan boleh meningkat kepada antara 2.5 hingga 2.7 peratus berikutan kos pengeluaran dan logistik yang lebih tinggi.Beliau berkata utiliti pula bersifat kurang sensitif dalam jangka masa terdekat kerana pelarasan tarif utiliti tidak bertindak balas secara serta-merta terhadap turun naik harga minyak mentah jangka masa pendek."Bagaimanapun, beberapa kesan pusingan kedua dijangka berlaku dalam ekonomi yang lebih luas apabila perniagaan menghadapi perbelanjaan logistik, pembungkusan, input import dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi."Semua tekanan ini tidak akan mencetuskan kenaikan harga secara meluas atau mendadak, sebaliknya akan muncul secara beransur-ansur, khususnya bagi premis perkhidmatan makanan, barangan makanan diproses, perkhidmatan penghantaran dan sektor yang mempunyai margin keuntungan kecil," katanya.Apakah Persediaan Malaysia?Mohd Sedek berpendapat rakyat Malaysia perlu bersedia menghadapi tahun harga yang sedikit lebih tinggi, khususnya dalam kategori perkhidmatan dan berkaitan makanan, bukannya lonjakan kos bahan api atau elektrik yang mendadak."Isi rumah dinasihatkan menilai semula corak perbelanjaan dan perlu membina penampan mudah tunai kecil bagi mengurus ketidaktentuan jangka masa pendek," katanya.Beliau turut menekankan bahawa risiko sebenar terletak pada kenaikan kos insurans dan penghantaran, bukannya kekurangan bekalan fizikal memandangkan saluran import Malaysia kekal pelbagai dan berfungsi.Mengenai peranan kerajaan, beliau berkata sokongan fiskal perlu menumpukan kepada usaha mengekang kos di peringkat sumber, terutama yang melibatkan logistik dan pertanian."Kerajaan perlu menstabilkan kos baja dan menyediakan sokongan bersasar sepanjang rantaian bekalan makanan kerana langkah itu lebih berkesan dalam mencegah inflasi menyeluruh berbanding pemindahan tunai segera."Menggiatkan pemantauan harga dan mengekalkan struktur subsidi bahan api semasa akan terus membantu menyokong jangkaan tanpa menjejaskan ruang fiskal," katanya.Subsidi RON95: Mampan namun bukan tanpa hadMohd Sedek yang turut menyentuh ikrar kerajaan untuk mengekalkan harga subsidi RON95 berkata kemampanan mekanisme itu amat bergantung kepada harga minyak mentah Brent dan kadar pertukaran mata wang asing bagi ringgit."Sekiranya harga RON95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, kos fiskal tambahan masih boleh dikawal jika harga minyak mentah Brent berada pada sekitar US$80 setong, namun kos akan meningkat dengan ketara apabila harga Brent menghampiri US$90 setong atau lebih daripada itu."Bagaimanapun, kos berkenaan menjadi bebanan berstruktur sekiranya harga minyak kekal melebihi US$90 untuk tempoh yang panjang dan semakin sukar untuk mengekalkan harga jika menghampiri US$95 hingga US$100 setong, terutama jika nilai ringgit lemah," katanya.Setakat ini, harga minyak mentah Brent terus meningkat, dengan kenaikan US$1.98 atau 2.55 peratus kepada US$79.72 setong.Sehubungan itu, Sedek berkata, sekiranya penyesuaian harga diperlukan, pendekatan yang kurang menimbulkan gangguan adalah dengan memperkenalkan mekanisme koridor harga secara berperingkat yang menyesuaikan sebahagian daripada harga petrol apabila harga minyak global melebihi ambang tertentu.Beliau juga berkata, penyesuaian secara berperingkat dalam julat yang terkawal akan mengekalkan disiplin fiskal dan pada masa sama mengelakkan kejutan mendadak kepada isi rumah dan pasaran.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata kerajaan akan berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada harga semasa RM1.99 seliter demi untuk rakyat Malaysia meskipun pasaran global menghadapi ketidaktentuan susulan situasi terkini konflik di Timur Tengah."Insya-ALLAH, untuk rakyat Malaysia saya akan cuba mempertahankan supaya tidak ada kenaikan harga minyak."Kita akan bertahan semaksimumnya... tetapi (pasaran) ini tidak terkawal, kalau keadaannya menjadi sehingga luar daripada kawalan kita, itu (jika berlaku kenaikan harga) tidak dapat kita pastikan," kata Anwar.Senada dengan Perdana Menteri, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir pada Selasa berkata, kerajaan tidak bercadang untuk melakukan sebarang perubahan drastik dari segi harga serta dasar ketika ini.BNM dijangka kekalkan OPRMengenai dasar monetari, Mohd Sedek berkata Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar faedah sedia ada berbanding menurunkannya walaupun inflasi adalah terkawal.Beliau berkata, Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa pada 2.75 peratus adalah bersifat akomodatif dan pelonggaran dasar terlalu awal dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu boleh melemahkan ringgit dan meningkatkan inflasi import."Bank pusat perlu sentiasa berwaspada dengan kesan pusingan kedua dan mengambil langkah untuk mencegah jangkaan inflasi yang tidak menentu," katanya.Ahli Ekonomi Profesor Dr Geoffrey Williams pula berkongsi harapan yang sama mengenai pendekatan berhati-hati dalam kalangan pembuat dasar.Beliau berkata, keadaan semasa lebih banyak dipengaruhi oleh ketidaktentuan mengenai perkembangan situasi geopolitik berbanding jangkaan sebenar mengenai harga atau pertumbuhan.Beliau juga menjangkakan kadar faedah di Malaysia tidak akan meningkat namun yakin penurunan kadar faedah hanya akan hanya dipertimbangkan sekiranya kebimbangan terhadap pertumbuhan semakin serius."Inflasi kekal rendah, ringgit agak kukuh, dan harga import adalah terkawal. Kedudukan perdagangan Malaysia menerima manfaat daripada harga minyak yang tinggi, walaupun ringgit mengalami turun naik, pembetulan pasaran dan ketidaktentuan politik di dalam negara kekal sebagai aspek yang perlu diberi perhatian," katanya.Williams berkata, kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak terjejas dengan ketara memandangkan PKS memberi lebih banyak tumpuan terhadap pasaran domestik berbanding risiko luaran.Beliau yang menasihatkan pembuat dasar supaya kekal tenang, bertindak dengan berhati-hati dan mengelakkan perubahan dasar yang drastik turut menyuarakan keyakinan bahawa konflik itu akan reda pada masa yang sesuai. - Bernama