Peminat 'muak' alasan Tang Jie-Ee Wei

KEKALAHAN mengejut beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada pusingan pertama Seluruh England 2026 mencetuskan gelombang kemarahan dalam kalangan peminat yang menyifatkan alasan komunikasi dan kesilapan servis sebagai sesuatu yang tidak lagi boleh diterima.Turun dengan reputasi besar, juara dunia itu terpaksa akur ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Denmark, Rasmus Espersen-Amalie Kudsk menerusi pertarungan sengit tiga set 18-21, 21-12, 25-23 di Utilitia Arena Birmingham, malam tadi.Meskipun Tang Jie mengakui kelemahan komunikasi dan rotasi di gelanggang menjadi punca kekalahan, rata-rata penyokong setia badminton negara di media sosial mula hilang sabar dengan prestasi tidak menentu pasangan pilihan keempat kejohanan itu.Tinjauan di ruangan komen mendapati peminat mempersoalkan tahap kematangan mereka yang masih bergelut dengan kesilapan asas dalam kejohanan bertaraf tinggi.Seorang pengguna Facebook, Mohd Ridzuan secara sinis menyifatkan alasan komunikasi sebagai modal lama yang sering diulang setiap kali tewas, manakala Siti Heliza menegaskan bahawa sebagai pemain profesional, isu servis tidak sepatutnya menjadi penghalang utama pada saat kritikal.Kekecewaan itu turut dikongsi oleh Stevie Wong yang melabelkan prestasi Tang Jie-Ee Wei sebagai mengecewakan memandangkan status mereka sebagai antara sandaran utama negara, selain Lim Wei Keong yang menggesa pasangan itu supaya lebih fokus di gelanggang daripada memberikan alasan selepas tamat perlawanan.Kekalahan itu ternyata perit untuk ditelan apatah lagi Tang Jie-Ee Wei sebelum ini bangkit daripada ketinggalan 14-19 pada set penentuan untuk mengikat kedudukan, namun gagal menyudahkan dua peluang mata akhir yang dimiliki.Kekalahan itu sekali gus mengulangi episod pahit tahun lalu apabila Tang Jie-Ee Wei yang turun selaku pilihan kedua ketika itu turut tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Rehan Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja.