Angkut pekerja kilang guna bas sekolah

NILAI - "Maaf tuan, bas kilang rosak, jadi saya terpaksa gunakan bas korporat sekolah."Itu alasan seorang pemandu bas ketika ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan membawa pekerja sebuah kilang dalam operasi di Plaza Tol Nilai baru-baru ini.Lelaki berusia 40-an itu memberitahu kali pertama dia menggunakan bas terbabit untuk membawa pekerja dari Sungai Besi, Selangor.Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, alasan berkenaan antara yang sering digunakan pemandu apabila ditahan pihak berkuasa."Ada juga beritahu tidak tahu yang membawa pekerja tanpa permit adalah satu kesalahan dan mereka hanya ikut arahan majikan saja selain kononnya permohonan permit masih dalam proses."Mereka menggunakan bas persiaran atau bas sekolah untuk membawa pekerja kilang, malah ada yang memang tiada permit langsung selain mengecat bas berwarna biru iaitu warna bas kilang yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Menurutnya, modus operandi pemandu ialah akan bergerak seawal pagi selain tidak menggunakan laluan utama bagi mengelak dikesan anggota penguat kuasa.Jelas beliau, jika didapati beroperasi tanpa lesen, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang mana bas boleh disita dan dilucut hak.Ujarnya, sama seperti van dan bas sekolah, operasi bas kilang juga memerlukan permit yang sah, khususnya bagi memastikan aspek keselamatan penumpang terjamin."Garis panduan ini ditetapkan oleh APAD yang mana kenderaan ini juga perlu melepasi pemeriksaan berkala dan mempunyai perlindungan insurans komersial yang sah"Pemandu juga perlu mempunyai lesen CDL dan PSV," katanya.Justeru, beliau menasihatkan majikan supaya memastikan bas kilang yang digunakan mempunyai permit yang sah bagi memastikan keselamatan pekerja.Selain itu katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 264 kenderaan membawa pekerja diambil tindakan membabitkan 672 notis, manakala setakat 15 Februari tahun ini sebanyak 12 kenderaan dengan 23 notis.