Anwar tarik balik rayuan isu imuniti, diperintah bayar RM50,000 kepada Yusoff Rawther

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini memerintahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayar kos RM50,000 kepada bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, selepas menarik balik rayuan berkaitan kes saman sivil difailkan terhadapnya.Rayuan itu berhubung permohonan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Wong Kian Kheong memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Muhammed Yusoff.Mahkamah turut menetapkan bayaran kos itu perlu dijelaskan sebelum jam 5 petang, 6 April depan.Kian Kheong berkata, jumlah kos berkenaan diputuskan memandangkan terdapat dua permohonan interlokutori difailkan dalam rayuan terbabit, iaitu permohonan penggantungan bicara di Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan serta permohonan memfailkan rekod rayuan tambahan."Selain itu, rayuan berkenaan juga membabitkan lapan persoalan Perlembagaan yang berkaitan dengan kepentingan awam."Persoalan ini juga berkaitan kekebalan Perdana Menteri, dan ia adalah persoalan penting. Hujahan yang lengkap juga telah difailkan oleh peguam responden."Selain itu, terdapat juga enam pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan," kata Kian Kheong pada Rabu.Turut bersidang dalam panel berkenaan ialah Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Latifah Mohd Tahar.Sebelum ini, Anwar memohon untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan imuniti daripada tindakan saman ke Mahkamah Persekutuan.Permohonan itu difailkan berhubung saman sivil oleh Muhammed Yusoff yang mendakwa beliau melakukan serangan seksual terhadapnya lapan tahun lalu.