IPOH - Sebuah syarikat perkhidmatan binaan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memiliki 2,439 liter minyak diesel tanpa permit yang sah.Syarikat Great Tunnel Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Kee Soon Ngeit, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didapati memiliki minyak diesel yang merupakan barang kawalan berjadual berjumlah keseluruhan 2,439 liter yang disimpan dalam 16 tong plastik dan diletakkan di atas badan sebuah lori.Perbuatan itu didakwa menimbulkan syak munasabah bahawa suatu kesalahan telah dilakukan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit tanpa kebenaran.Kesalahan itu dilakukan di sebuah stor simpanan diesel dalam kawasan penyelenggaraan bahan binaan tanpa nombor di Lebuh Pengkalan Barat 12, Taman Pengkalan Pertama.dalam daerah Kinta kira-kira jam 2.30 petang pada 6 Julai 2023.Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua serta seterusnya.Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Nazreen Zabarudin bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Mohamed Nizam Mohamed Yunan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan barang rampasan diesel bernilai RM5,731.65 dilucuthakkan dan dijadikan hasil kerajaan.Mengikut fakta kes, semakan maklumat pengesahan lesen CSA (barang kawalan berjadual) mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai rekod pelesenan selain tiada rekod permit barang kawalan berjadual.