Bekas tentera mengaku ceroboh Kem Terendak

MELAKA - Seorang bekas tentera mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan menceroboh Kem Terendak, Sungai Udang minggu lalu.Tertuduh, Alif Duie, 39, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didapati melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki Mes Perwira 94 Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah sekitar jam 2 pagi Sabtu lalu tanpa kebenaran sah daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.Bagaimanapun, peguam Amritpal Singh mewakili tertudih memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan berbentuk denda atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan selain perlu menanggung tiga orang anak serta telah menyesali perbuatannya.Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera pada 2022 dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan larangan tanpa kebenaran.Kejadian disedari seorang koperal tentera ketika melakukan rondaan sebelum ternampak sebuah kereta jenis Perodua Alza kawasan parkir di Mes Pegawai Kanan Kem Terendak.Tertuduh mengaku masih menyimpan kunci bilik pegawai kanan sejak tamat perkhidmatan empat tahun lalu.