GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang memulakan siasatan berhubung satu hantaran di Facebook oleh seorang penceramah berkaitan cadangan penganjuran perhimpunan di sebuah kuil Hindu berhampiran pintu masuk Hospital Bukit Mertajam pada 7 Mac ini.Siasatan itu dimulakan susulan laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pada 3 Mac lalu terhadap individu dikenali sebagai Zamri Vinoth.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998."Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang berunsur provokasi atau membuat spekulasi sehingga boleh mencetuskan niat jahat serta permusuhan antara kaum atau golongan penduduk di negara ini."Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyertai atau menganjurkan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kekacauan atau menjejaskan ketenteraman awam masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, pihak polis sentiasa memantau rapi perkembangan semasa dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menggesa supaya perhimpunan yang dinamakan sebagai Ops Terjahan Rumah Anutan Haram yang didakwa akan diadakan di sebuah kuil Hindu berhampiran Hospital Bukit Mertajam pada Sabtu ini dibatalkan serta-merta.Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk dan tiada mana-mana pihak perlu menjadi ‘wira’ dengan memainkan sentimen agama serta kaum sehingga boleh menjejaskan keharmonian.Menurutnya, tindakan berhimpun secara provokatif bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan masalah malah berpotensi mengapi-apikan kebencian yang boleh merosakkan perpaduan negara.Terdahulu tular sebuah poster mengenai perhimpunan di Hospital Bukit Mertajam yang akan diadakan pada jam 3 petang, 7 Mac ini.Tujuan perhimpunan itu diadakan dipercayai untuk menggesa pihak berkuasa meroboh sebuah kuil yang terletak di hadapan hospital berkenaan.