JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun dan 24 kali sebatan terhadap seorang pengawal keselamatan bagi 13 pertuduhan jenayah seksual terhadap anak perempuannya berusia enam tahun pada Januari dan Februari lalu.Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Nor Aziati Jaafar dan Madihah Zainol di dua kamar berasingan terhadap tertuduh berusia 43 tahun yang telah mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee pada Isnin.Pertuduhan membabitkan kesalahan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii, menghasilkan video penganiayaan seksual dan merogol anak perempuannya.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahidah Shahudin dan S Manushri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.Ketika prosiding, tertuduh memohon hukuman diringankan atas alasan perlu menanggung enam orang anak selain isterinya tidak bekerja dan menghidap kanser.Hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 21 tahun secara keseluruhan bermula dari tarikh tangkap pada 18 Februari serta 24 kali sebatan.Selain itu, hakim turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan.Bagaimanapun, Nur Farah Wahidah meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius tertuduh serta kesan berpanjangan terhadap mangsa yang masih kecil.Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya yang berusia enam tahun antara 22 Januari hingga 17 Februari.Seterusnya, tertuduh berdepan empat lagi pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara melakukan perbuatan tidak bermoral di hadapan mangsa antara 23 Januari hingga 16 Februari.Lelaki itu turut dituduh dengan dua pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa pada 16 dan 17 Februari.Tertuduh juga berdepan dua pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak ke atas mangsa tanpa kerelaannya pada 22 Januari dan 23 Februari serta satu pertuduhan rogol pada 17 Februari.Bagi kesalahan amang seksual fizikal, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala kes amang seksual bukan fizikal didakwa di bawah Seksyen 15(c) akta yang sama.Selain itu, perbuatan persetubuhan luar tabii merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun serta sebatan.Penghasilan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk video pula didakwa di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala kes rogol kanak-kanak didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah setinggan dekat Kampung Kempas Baru di sini antara jam 11.35 malam, 22 Januari lalu hingga waktu pagi, 17 Februari lalu.