Penyelewengan dalam IJM: SPRM siasat pengambilalihan saham oleh Sunway

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka satu lagi kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan IJM Corporation Berhad (IJM).Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan terbaru itu membabitkan pengambilalihan saham oleh Sunway Berhad, baru-baru ini."Kita sedang melihat adakah pengambilalihan itu mempunyai isu rasuah, salah guna kuasa atau kesalahan dalam tatakelola," katanya ketika sidang media di Ibu pejabat SPRM di sini pada Rabu.Azam berkata, setakat ini tiga kertas siasatan sudah dibuka SPRM berkaitan isu tersebut."Kertas siasatan pertama dibuka berkait kes penggubahan wang berjumlah kira-kira RM2.5 bilion yang dilaburkan di United Kingdom (UK)."SPRM sedang bekerjasama dengan negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.Menurutnya, kertas siasatan kedua pula berkaitan satu projek yang dijalankan IJM dan beberapa individu sudah dipanggil bagi dirakam percakapan."Saya percaya, siasatan itu masih lagi panjang," ujarnya.Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan perlu dijalankan memandangkan terdapat syarikat milik kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai kepentingan dalam IJM."Jadi, ia menjadi tanggungjawab kami untuk menyiasat kes ini kerana kita menerima laporan mengenai perkara itu," katanya.Sebelum ini, media melaporkan seorang eksekutif pengurusan tertinggi IJM Corporation Bhd berusia 70-an ditahan untuk membantu siasatan SPRM berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.Susulan itu, SPRM membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat berkaitan membabitkan jumlah kira-kira RM30.6 juta.Dalam perkembangan lain, Azam berkata, kertas siasatan membabitkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.Beliau berkata, SPRM mencadangkan pertuduhan terhadap kedua-dua pegawai berkenaan serta seorang bekas pegawai kanan jabatan itu."Keputusan mengenai pertuduhan dijangka diketahui dalam tempoh seminggu lagi," katanya.SPRM sebelum ini dilaporkan menahan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS bagi membantu siasatan kes berkaitan pengurusan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste).