PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan transaksi rasuah antara sindiket tonto dan penguat kuasa dianggarkan berjumlah RM12 juta dengan menggunakan akaun keldai sejak lima tahun lalu.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, transaksi yang bermula pada 2021 itu bertujuan memastikan kenderaan perdagangan tidak dikenakan tindakan undang-undang oleh penguat kuasa yang bertugas."SPRM turut membekukan 59 akaun individu dan syarikat berjumlah RM4.7 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket ini."Kita telah menahan empat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan empat anggota polis trafik serta dua pemilik syarikat dipercayai tonto dan seorang keldai akaun," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.Azam berkata, keseluruhan individu yang ditahan dalam kes itu adalah seramai 18 orang."Kita telah membuka setiap satu kertas siasatan berkaitan suspek tersebut," katanya.Secara keseluruhan, beliau berkata, nilai pembekuan dan sitaan adalah RM7.69 juta melibatkan wang tunai pelbagai mata wang, 25 kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM2.5 juta, barang kemas kira-kira RM40,000."Kita turut merampas 27 telefon bimbit dan 41 unit walkie-talkie yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.Azam juga mengesahkan, selain JPJ, SPRM akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam Ops Middleman."Saya sudah menghubungi Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar untuk bertemu dalam masa terdekat," katanya.Beliau berkata, siasatan terhadap tonto dijalankan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, manakala pegawai penguat kuasa disiasat di bawah Seksyen 17(a) akta sama kerana dipercayai menerima suapan."Modus operandi sindiket ialah menawarkan rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi kegiatan lori yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk membawa muatan berlebihan," katanya.Beliau berkata, SPRM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh termasuk meneliti akaun digital dan kemungkinan penglibatan pihak lain, selain tidak menolak operasi sama diperluas ke negeri lain."Kita mahu putuskan rantaian ini. Selagi ada orang tengah yang memudahkan bayaran rasuah, jenayah ini akan berterusan dan akhirnya menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya," katanya.Media sebelum ini melaporkan pendedahan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa wujud kebocoran maklumat dalaman JPJ yang dipercayai membolehkan sindiket tonto mengetahui operasi penguatkuasaan lebih awal.