Mangsa lemas di Empangan Sultan Azlan Shah ditemui terapung

IPOH - Lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta di sini sejak minggu lalu ditemukan pada Rabu.Mangsa yang berusia 32 tahun itu ditemukan dalam keadaan terapung kira-kira 300 meter dari lokasi dipercayai terjatuh.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan penemuan mangsa pada jam 11.22 pagi.Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat."Operasi mengambil mayat telah digerakkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, kejadian yang berlaku pada Jumaat itu melibatkan dua lelaki terjatuh ke dalam empangan berketinggian kira-kira sembilan meter."Seorang lagi mangsa berusia 34 tahun berjaya diselamatkan dengan dibawa naik ke pelantar menggunakan sistem tali," katanya.Insiden itu disedari pihak pengurusan empangan selepas pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat dua lelaki berada di kawasan berkenaan dengan seorang daripadanya tenggelam dan seorang lagi berada di permukaan air.Polis bagaimanapun memaklumkan dua lelaki terbabit disyaki menceroboh kawasan empangan bagi menjalankan kegiatan mencuri kabel.