YAN – Seorang peniaga memberi alasan menyiapkan tempahan pelanggan bukan Islam ketika diserbu penguat kuasa dalam Ops Ramadan di sini pada Rabu.Ketua Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Yan, Mohamad Tarmizi A Karim berkata, pemeriksaan sekitar jam 10.30 pagi mendapati terdapat makanan dan minuman siap dibungkus.Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, dua wanita berusia lewat 40-an dan 50-an didapati sedang menyiapkan tempahan di sebuah gerai di Jalan Sungai Limau."Semasa pemeriksaan mendapati kedua-dua wanita ini sedang memasak dipercayai bagi menyiapkan tempahan nasi bungkus dan minuman. Terdapat juga makanan yang telah siap dan menunggu untuk diambil pelanggan."Mereka memberi alasan tetap memasak bukan kerana mahu menyediakan makanan untuk geng ponteng puasa, sebaliknya kira-kira 20 bungkus nasi itu ditempah oleh seorang pelanggan bukan Islam," katanya.Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd Nazif Zakaria.>Jelasnya, operasi turut dibantu Pejabat Kesihatan Daerah Yan serta Majlis Daerah Yan.Mohamad Tarmizi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 iaitu tidak menghormati bulan Ramadan.Katanya, kedua-dua wanita terbabit diberi notis hadir ke Pejabat Agama Daerah Yan bagi tujuan siasatan lanjut.Mereka juga dikenakan Perintah Penutupan Premis bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selama 14 hari susulan keadaan premis yang kotor.Sementara itu beliau berkata, serbuan di lokasi kedua di Jalan Baru Bukit Besar mendapati nasi dan dua jenis lauk telah disediakan walaupun baru jam 11.21 pagi.Menurutnya, peniaga memberi alasan makanan berkenaan disediakan untuk kanak-kanak yang tidak berpuasa sementara ibu bapa mereka keluar bekerja."Peniaga terbabit turut disiasat dan diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Yan pada tarikh yang ditetapkan untuk siasatan lanjut," katanya.