SHAH ALAM - Selepas beberapa jam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan notis sedang mengesan dirinya bagi membantu siasatan berkaitan, bekas pembantu kepada Datuk Seri Rafizi Ramli iaitu James Chai akhirnya tampil bersuara.Menerusi kenyataan yang diberikan kepada pihak media, James menegaskan beliau tidak sesekali melarikan diri, malah jauh sekali bersembunyi seperti ahli perniagaan dalam buruan, Low Teik Jho atau Jho Low seperti naratif yang cuba digambarkan pihak tertentu.James, dalam masa sama turut menyelar dan mempersoalkan kenyataan terbuka Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa agensi itu sedang mengesan beliau tanpa terlebih dahulu menghubunginya susulan agensi itu membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion."Asas siasatan ini ialah dakwaan kononnya berlaku penyelewengan oleh bekas bos saya, Yang Berhormat Rafizi Ramli dan bahawa urus niaga yang saya terlibat itu telah diluluskan secara tergesa-gesa dan tidak wajar."SPRM telah mengeluarkan hebahan awam untuk mengesan saya, seolah-olah saya seorang pelarian dan Azam Baki sendiri mengadakan sidang media mengenai perkara ini. Beliau memberi gambaran bahawa saya bersembunyi seperti seorang pelarian. Saya tidak."Untuk memahami tujuan kempen ini, kita perlu melihatnya secara menyeluruh. Naratif utama yang ingin diketengahkan oleh kerajaan ialah bahawa YB Rafizi Ramli telah menyeleweng RM1.1 bilion daripada kerjasama tersebut, dan saya, James Chai, ialah ‘Jho Low 2.0’ yang membantu YB Rafizi Ramli dalam perkara ini," katanya pada Rabu.Media melaporkan, SPRM mengesahkan telah memanggil seorang bekas menteri kanan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan mega semi konduktor bernilai RM1.11 bilion.Azam berkata, bekas menteri itu adalah antara 12 individu yang telah dipanggil SPRM setakat ini untuk dirakam keterangan dan percakapan.Susulan itu, SPRM turut mengeluarkan notis sedang mengesan James bagi membantu siasatan.Mengulas lanjut, James berkata, ketika masih berkhidmat dengan kementerian yang diterajui Rafizi sebelum ini, beliau tidak pernah sesekali mempengaruhi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jemaah Menteri dan keseluruhan jentera kerajaan untuk menandatangani perjanjian dengan Arm Limited supaya beliau boleh mendapatkan pekerjaan dengan syarikat berkenaan.Tambah James, selepas bersama rakan sekerja di Pejabat Ekonomi meletak jawatan secara kolektif bersama Rafizi pada 17 Jun tahun lalu, syarikat berkenaan memintanya supaya membantu mereka dalam tempoh peralihan jangka pendek dan pada awalnya beliau menolak, namun selepas berulang kali beliau menerimanya."Selepas tepat dua bulan, saya meletakkan jawatan daripada peranan jangka pendek tersebut supaya saya akhirnya boleh meneruskan kehidupan saya," katanya.James dalam nada kecewa turut menegaskan, naratif untuk menggambarkan dirinya dilihat seperti Jho Low dapat dilihat dalam beberapa petunjuk apabila SPRM tidak menghubunginya atau individu rapat untuk tujuan siasatan."SPRM telah mengambil langkah mengeluarkan notis pencarian awam dan mengadakan sidang media oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk ‘mencari’ saya. Mereka malah memaparkan rumah zaman kanak-kanak saya yang kini didiami oleh ibu bapa saya, sekali gus mendedahkan keluarga saya kepada bahaya yang tidak perlu."Kerajaan mempunyai sumber yang mencukupi, tetapi mereka tidak dapat mencari nombor WhatsApp saya.Mereka boleh sahaja bertanya kepada rakan-rakan saya atau bekas rakan sekerja saya dalam kerajaan. Mereka juga boleh menghantar e-mel atau mesej kepada saya melalui media sosial," katanya yang kini bekerja di United Kingdom (UK) dalam bidang risiko kecerdasan buatan (AI) dan dasar untuk mengawal selia teknologi.Menurut James, beliau akan terus berjuang untuk menentang ketidakadilan terhadapnya dirinya sesukar mana sekali pun."Saya tahu saya boleh memilih jalan yang berbeza, tetapi saya tidak akan pernah menyesal berkhidmat untuk negara saya kerana berkhidmat kepada Malaysia tetap merupakan penghormatan terbesar dalam hidup saya. Tiada penindasan yang akan mengubah hakikat itu," katanya.