25 kontena sarat e-waste dikesan di Pelabuhan Klang

PELABUHAN KLANG – Sebanyak 25 kontena dikesan mengandungi sisa elektronik (e-waste) dalam Operasi Bongkar Kontena Siri 1/2026 di Pelabuhan Klang di sini pada Rabu.Jabatan Alam Sekitar dalam kenyataan berkata, sebanyak 54 kontena telah diperiksa dalam operasi pada hari kedua."Hasil pemeriksaan mendapati 32 kontena mengandungi buangan terjadual, dengan 25 kontena daripadanya merupakan e-waste," katanya.Menurut kenyataan itu, operasi itu dilaksanakan oleh JAS bagi memastikan pemeriksaan dijalankan secara menyeluruh, teratur dan berintegriti."Operasi itu, susulan lawatan kerja Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam ke Pelabuhan Klang pada 28 Februari bagi meninjau status penahanan kontena e-waste."Operasi ini turut disokong oleh agensi-agensi berkaitan iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta SIRIM bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu," katanya.Menurut kenyataan itu, pada Selasa, sebanyak 45 kontena telah diperiksa dan 40 daripadanya dikenal pasti mengandungi buangan terjadual dengan 22 kontena merupakan sisa elektronik."Secara keseluruhan, 99 kontena telah diperiksa dalam tempoh dua hari operasi bersepadu tersebut," katanya.JAS berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan pengimportan buangan terjadual."Tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974."Tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 43 akta sama terhadap ejen atau syarikat perkapalan yang gagal mematuhi prosedur pengimportan ditetapkan," katanya.Jabatan Alam Sekitar turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar atau pengimportan buangan secara haram melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel aduan_k@doe.gov.my atau portal e-Aduan di https://eaduan.doe.gov.my.