MUAR - Dua lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dipercayai dipandu lelaki positif dadah di Jalan Rencong, Lenga di sini pada Rabu.Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan kejadian berlaku kira-kira jam 8.42 pagi melibatkan sebuah Ford Ranger yang dipandu lelaki tempatan berusia 39 tahun dari arah Pagoh menghala ke Lenga."Siasatan awal mendapati kenderaan itu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika melalui selekoh lalu bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan."Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal lelaki berusia 47 tahun dan pembonceng berusia 77 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan badan."Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam kenyataan.Jelas Raiz Mukhliz, pemeriksaan lanjut ke atas pemandu pacuan empat roda berkenaan menemukan bahan disyaki dadah iaitu 20 biji pil Eramin 5 seberat 5.15 gram serta dadah jenis syabu seberat 0.39 gram.Sementara, ujian saringan awal air kencing ke atas pemandu turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine."Suspek telah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952."Suspek kini ditahan di Balai Polis Muar dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Muar bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut," ujarnya.