Alasan mahu rehat, janda ditangkap khalwat dengan 2 lelaki

JOHOR BAHRU - Dua lelaki dan seorang janda ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Dato’ Onn pada Selasa.JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, operasi mencegah maksiat tersebut dilakukan jam 12 tengah hari selepas mendapat maklumat awam."Sebaik tiba di lokasi kejadian, penguat kuasa mengetuk pintu sebelum dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki."Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke dalam rumah sambil meminta lelaki itu bekerjasama," menurut kenyataan tersebut.JAINJ memaklumkan, pemeriksaan mendapati tiada sesiapa di tingkat bawah manakala di tingkat atas terdapat tiga bilik dengan pintu tertutup.Jelasnya, lelaki yang membuka pintu rumah itu memberitahu dia menghuni di bilik pertama dan pemeriksaan menemui seorang lagi lelaki sedang tidur."Penguat kuasa kemudiannya mengetuk bilik kedua dan mendapati bilik tersebut dihuni tiga lelaki. Penguat kuasa menemui seorang lelaki hanya berseluar pendek dan berlenggeng sedang tidur atas tilam bujang sebelah kiri."Selang 2 meter di sebelah kanan pula ada dua orang sedang tidur atas tilam kelamin."Orang itu kemudian tersedar dengan kehadiran penguat kuasa. Lelaki itu bangun dengan berpakaian seluar panjang dan berlenggang tidak berbaju. Di sebelahnya ada seseorang dalam selimut dan menutup muka dan keseluruhan badan," katanya.Ujarnya JAINJ, pemeriksaan mendapati individu dalam selimut itu adalah seorang wanita yang berpakaian seluar panjang dan t-shirt.Hasil soal siasat ke atas dua lelaki dan wanita berkenaan mendapati mereka bukan suami isteri dan tiada hubungan mahram."Lelaki pertama dan kedua masing-masing berumur 30-an merupakan rakan baik dan sama tempat kerja. Kedua-duanya masih bujang manakala wanita pula berusia 30-an berstatus janda yang mana semuanya bekerja di Johor Bahru."Keadaan katil dan cadar tidak terurus. Apabila disoal penguat kuasa, wanita ini mengatakan dia kurang sihat dan perlu berehat di rumah lelaki ini."Penguat kuasa sudah biasa berdepan dengan macam-macam ragam dan perangai orang yang mencipta alasan tersendiri apabila ditangkap berkhalwat," katanya.Hasil soal siasat mendapati, wanita dan lelaki terbabit itu sudah lama bersama dan kerap datang ke rumah tersebut.Pasangan itu kemudiannya ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkurung dalam bilik sehingga mendatangkan syak.