Sindiket manipulasi sistem permohonan pembantu rumah tumpas - JIM

JOHOR BAHRU - Sindiket manipulasi sistem permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA) dan salah guna kemudahan permohonan Sistem Maid Online (SMO) ditumpaskan menerusi serbuan berasingan dekat sini baru-baru ini.Serbuan digerakkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor hasil risikan terperinci dan pemantauan berterusan selama dua bulan.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama pada 2 Mac lalu di Taman Setia Tropika, Johor Bahru, pasukan operasi telah menahan 11 warga asing terdiri daripada lapan wanita Thailand, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Vietnam.Menurutnya, semakan awal mendapati terdapat kes tinggal lebih masa dan penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori PRA untuk bekerja sebagai pelayan di premis hiburan."Pasukan operasi turut menyita pasport asing, peralatan rakaman digital, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,025 yang dipercayai hasil kegiatan tersebut."Premis berkenaan dipercayai menawarkan khidmat pelayan warga asing dengan bayaran serendah RM250 dan telah beroperasi kira-kira satu tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Tambah Zakaria, dalam operasi kedua pada 3 Mac di sekitar Batu Pahat, Skudai dan Johor Bahru, JIM berjaya menumpaskan sindiket yang menyalahgunakan kemudahan permohonan SMO.Jelasnya, seramai lima wanita asing ditahan terdiri daripada empat Vietnam dan seorang Indonesia."Turut ditahan seorang lelaki warganegara tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket," ujarnya.Katanya lagi, siasatan mendapati sindiket ini mengemukakan maklumat dan dokumen yang disyaki palsu untuk mendapatkan kemudahan PLKS kategori PRA bagi individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan."Sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap individu."Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk Seksyen 6(3), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(k)," ujarnya.Menurut beliau, selain itu beberapa warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.Tegasnya, kejayaan dua operasi itu membuktikan bahawa JIM bukan sahaja mempergiat penguatkuasaan di lapangan, malah memantau secara digital bagi memastikan sistem imigresen negara tidak dimanipulasi oleh sindiket."Jabatan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan kemudahan imigresen negara," katanya.