SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan yang dibuat oleh bekas pembantu kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai bahawa suruhanjaya itu tidak pernah menghubunginya berhubung kertas siasatan yang dibuka.SPRM dalam satu kenyataan berkata, siasatan tersebut berkaitan satu perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.Menurutnya, pegawai penyiasat SPRM telah membuat beberapa percubaan untuk menghubungi James Chai yang telah dikesan berada di United Kingdom, sebelum Notis Mengesan Individu dikeluarkan."Mulai 24 Februari 2026, pegawai penyiasat telah menghubungi aplikasi WhatsApp talian kepunyaan James Chai tetapi tidak dibalas."Setelah beberapa percubaan untuk menghubunginya tanpa respons, akhirnya nombor pegawai penyiasat telah disekat (block) oleh talian kepunyaan James Chai pada 26 Februari 2026."Justeru, dakwaan bahawa SPRM tidak cuba menghubungi beliau sebelum mengeluarkan notis tersebut adalah tidak benar sama sekali," katanya pada Khamis.Tambah SPRM, cubaan untuk menggambarkan prosedur siasatan yang lazim sebagai tindakan menzalimi individu adalah tidak wajar dan berniat jahat.Jelasnya, naratif sedemikian bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap proses penguatkuasaan undang-undang yang sah, khususnya ketika siasatan masih berjalan."SPRM menegaskan bahawa suruhanjaya ini sentiasa berpegang kepada 'presumption of innocence' atau prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya."Oleh itu, seseorang yang dipanggil untuk membantu siasatan tidak bermaksud orang itu bersalah atau telah melakukan satu kesalahan," ujarnya.Jelas SPRM, pengeluaran Notis Mengesan Individu atau saksi untuk bantu siasatan merupakan prosedur siasatan standard yang digunakan oleh SPRM dan agensi penguatkuasaan lain."Notis tersebut hanya dikeluarkan apabila pelbagai usaha untuk menghubungi individu berkenaan gagal, termasuk melalui panggilan telefon, lawatan ke alamat terakhir yang diketahui atau kaedah lain yang munasabah."Perlu ditegaskan bahawa Notis Mengesan bukan satu tuduhan jenayah dan tidak membawa sebarang kesimpulan bahawa individu berkenaan telah melakukan kesalahan," katanya.Sebaliknya, kata SPRM, ia satu langkah bagi mengesan individu yang diperlukan untuk membantu siasatan."Dalam siasatan ini, seramai 12 individu termasuk seorang Menteri Persekutuan telah dipanggil dan kesemua telah memberikan kerjasama kepada SPRM."Sekiranya James Chai tiada apa yang hendak disembunyikan, beliau harus tampil untuk memberi kerjasama. Sebagai makluman, SPRM secara purata mengeluarkan antara dua hingga lima Notis Mengesan Individu setiap minggu bergantung kepada keperluan siasatan," ujarnya.Katanya lagi, proses siasatan akan diteruskan secara profesional dan berasaskan bukti serta mana-mana individu yang dipanggil untuk membantu siasatan sewajarnya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, bukannya mengelak atau sengaja mewujudkan naratif awam yang mengelirukan."Tugas dan tanggungjawab James Chai sebagai seorang warganegara adalah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa apabila timbul keperluan dan bukannya memberikan alasan yang tidak munasabah dan menimbulkan persepsi negatif terhadap pihak penguat kuasa."SPRM akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional, bebas dan berlandaskan bukti serta kedaulatan undang-undang, tanpa takut atau pilih kasih," ujarnya.Pada Rabu, James dalam kenyataannya menyelar dan mempersoalkan kenyataan terbuka Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa agensi itu sedang mengesan beliau tanpa terlebih dahulu menghubunginya susulan agensi itu membuka kertas siasatan berhubung kes terbabit.Dakwa James, SPRM telah mengeluarkan hebahan awam untuk mengesan dirinya seolah-olah bersembunyi seperti seorang pelarian.