Lelaki Myanmar ditahan bantu siasatan kes bunuh rakan senegara

NILAI - Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar awal pagi Khamis bagi membantu siasatan kes bunuh rakan senegaranya, seorang wanita di asrama pekerja asing di sini, Isnin lepas.Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.55 tengah malam di tepi Jalan Saujana Puchong, Selangor oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Nilai.Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dengan cara mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau."Motif kejadian disebabkan suspek berhutang dengan mangsa berjumlah RM10,000. Mangsa menggugut untuk menyebarkan gambar suspek bersama teman wanitanya di Facebook sekiranya lelaki itu tidak membayar RM5,500 pada hari kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan termasuk sehelai baju hitam, sepasang selipar, dua unit telefon bimbit serta sebilah pisau boleh laras dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini di reman untuk siasatan lanjut.Terdahulu, polis menemukan mangsa berusia lingkungan 30-an itu dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di tangga asrama berkenaan, selepas menerima laporan pada jam 11.21 malam Isnin lepas. - Bernama