Tiga bulan pemergian Bung Moktar, Zizie Izette hadir ke mahkamah bela diri kes subahat rasuah

KUALA LUMPUR – Selepas tiga bulan pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hadir di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis untuk membela diri terhadap tuduhan bersubahat.Zizie Izette, 48, yang memakai baju berwarna hitam dan bertudung kelabu, tiba di mahkamah pada jam 8 pagi.Prosiding di hadapan Hakim, Rosli Ahmad bermula dengan pelakon itu membaca pernyataan saksinya berhubung kes rasuah membabitkan kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.Sebelum ini, dia memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 24 Disember tahun lepas, supaya tiga kes subahat rasuah berjumlah RM2.8 juta yang dihadapinya digugurkan, iaitu tiga minggu selepas kematian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.Ketua UMNO Sabah itu meninggal dunia pada jam 1.46 pagi 5 Disember 2025 lalu selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah melibatkan wang berjumlah RM2.8 juta.Bagaimanapun, perbicaraan membabitkan Zizie Izette tetap diteruskan dan perbicaraan ditetapkan pada 5, 6 dan 12 Mac.Pada 3 Mei 2019, Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya, memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 38.Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, di mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama.