'Kenapa bunuh semua anak kami'

KUALA TERENGGANU – "Kalau diberikan peluang berjumpa lagi dengan dia, saya mahu tanya kenapa bunuh anak saya? Sebab apa bunuh semua anak kami."​Demikian rintihan Siti Aishah Ariffin, 53, yang sehingga kini masih dibayangi tragedi hitam meragut nyawa tiga anaknya, 13 tahun lalu.Meskipun masa berlalu, air mata ibu ini seakan-akan tidak pernah kering mengenangkan kehilangan tiga permata hatinya dalam satu kejadian pembunuhan yang menyayat hati.​Bagi Siti Aishah dan suami, Rusdi Rani, 51, kedatangan Syawal setiap disambut suram sejak kehilangan anak sulung mereka yang berusia 14 tahun, anak kedua (12 tahun) dan anak bongsu (tiga tahun) pada 2013.​"Setiap kali puasa dan raya, rasa rindu itu makin menebal. Dulu kami lima beranak meriah, sibuk cari baju dan kasut raya. Sekarang tinggal berdua, rasa sunyi sangat.​"Anak-anak suka makan sup, singgang ikan dan kalau raya, mereka suka makan rendang. Walaupun kami sudah berpindah ke rumah ibu mentua di Besut sejak 2015, kerinduan itu tidak pernah padam. Masih sama lagi."Kadang-kadang keletah mereka bertiga masih terbayang-bayang seolah-olah mereka masih ada," kongsinya sebak.​Siti Aishah mengakui, keputusan berpindah dari Kedah ke Kampung Baru Tok Dor, Besut dibuat kerana dia tidak lagi sanggup melihat rumah dan bilik anak-anaknya yang membangkitkan kenangan.​Lebih memilukan katanya, sepanjang prosiding mahkamah berlangsung selama kira-kira dua tahun, Siti Aishah tidak pernah berpeluang bersemuka dengan tertuduh mahupun menerima permohonan maaf daripada keluarga mereka.​Misteri dan dendam yang tersimpan di hati seorang ibu untuk bertanyakan motif pembunuhan itu akhirnya terkubur tanpa jawapan kerana tertuduh dilaporkan telah meninggal dunia kira-kira tiga minggu lalu selepas mendapat pembebasan awal dari penjara.​"Sepanjang prosiding, saya tak pernah jumpa tertuduh. Keluarga dia pun tak pernah datang minta maaf sehinggalah dia keluar penjara dan meninggal dunia baru-baru ini, barulah ibunya datang berjumpa saya untuk memohon maaf.​"Mereka sebenarnya jiran kami, hanya selang tiga buah rumah sahaja dengan rumah kami di Kedah dulu," jelasnya lagi.​Kisah duka pasangan tersebut mendapat perhatian penganalisis jenayah terkenal, Kamal Affandi Hashim yang membawa mereka berbuka puasa di sebuah hotel di sini bagi meraikan dan memberi sokongan moral.​Selain kata-kata semangat, Kamal Affandi turut menghulurkan sumbangan kelengkapan Aidilfitri dan wang tunai untuk meringankan beban pasangan berkenaan memandangkan Rusdi kini tidak dapat bekerja sejak tujuh bulan lalu akibat masalah saraf mata.​"Kita kena bantu mereka bina semula kehidupan yang telah berkecai. Bayangkan, sejak 2013 sehingga sekarang mereka tidak pernah berbuka di luar."Kita mahu tunjukkan bahawa kita menangis bersama mereka setiap hari, bukan sekadar semasa kejadian sahaja. Itu hipokrit namanya.​"Ini adalah tugas kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Sakit tetap sakit, darah tetap darah," ujarnya.​Pada 30 November 2013, negara digemparkan susulan penemuan mayat Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di sebuah sawah terbiar di Kampung Alor Senibong dalam keadaan menyayat hati.​Kira-kira 24 jam kemudian, mayat dua adiknya, Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemukan dalam terusan MADA di Kampung Padang Petani, Alor Semela.​Pada 2015, Mahkamah Tinggi Alor Setar telah menjatuhi hukuman penjara 18 tahun terhadap Mohd Firdaus Mohd Faridul yang ketika itu berusia 20 tahun, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan selepas dia mengaku salah menyebabkan kematian mangsa.​Kini, meskipun 'keadilan' di dunia telah selesai dan pesalah telah pun kembali ke pencipta-Nya, namun bagi Siti Aishah dan Rusdi, parut di hati mereka akan kekal selamanya sebagai saksi bisu kasih sayang seorang ibu dan ayah yang tidak berpenghujung.