Jangan bunuh PDA, Petronas: MP Kerajaan

PETALING JAYA – Seorang ahli Parlimen kerajaan mengingatkan agar pertikaian berhubung Petroleum Development Act 1974 (PDA) tidak sampai menjejaskan asas penubuhan Petronas serta kepentingan ekonomi negara.Ahli Parlimen Tampin dari UMNO, Mohd Isam Mohd Isa berkata, syarikat minyak nasional itu telah menyumbang pulangan besar kepada negara sejak akta berkenaan digubal."Petronas telah memberi pulangan kepada negara…1.5 trilion," katanya.Menurut beliau, sumbangan tersebut digunakan untuk kemajuan negara termasuk dalam sektor pendidikan dan pembangunan ekonomi, selain menjadi antara sumber utama pembiayaan pembangunan negara sejak beberapa dekad lalu."Untuk kemajuan negara, untuk pendidikan negara, untuk ekonomi negara."Janganlah kita bunuh Petronas itu sendiri," ujarnya.Isam turut menegaskan bahawa reputasi syarikat berkenaan perlu dipelihara kerana ia berkait rapat dengan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia."Petronas perlu jaga reputasi syarikat untuk meyakinkan pelabur asing. Jangan kita gadaikan negara kita semata-mata untuk memenuhi permintaan parti masing-masing," katanya.Beliau berharap isu berkenaan dapat dibincangkan secara matang dan tidak terus dikeruhkan."Saya haraplah benda ini boleh dibincangkan dan janganlah dikeruhkan lagi," katanya.Mengulas tindakan membawa perkara itu ke mahkamah, Isam menjelaskan ia bukan bertujuan menafikan hak mana-mana pihak, termasuk Sarawak."Bukan bermakna Petronas membawa isu ini ke mahkamah untuk menidakkan hak Sarawak. Inilah platformnya untuk tengok balik apa perjanjian itu," katanya.Menurutnya, keputusan mahkamah kelak boleh menjadi garis panduan dalam mencari penyelesaian jangka panjang."Bila mahkamah buat keputusan, di situlah mungkin garis panduan kita untuk mencari penyelesaian pada masa akan datang," ujarnya.Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam dari Amanah, Azli Yusof berpandangan cabaran terhadap PDA membuka ruang yang lebih besar dan perlu ditangani secara berhati-hati."Bila Sarawak membawa isu PDA itu sendiri, sebenarnya saya rasa dia membuka satu ruang yang agak lebih besar dan agak membimbangkan juga," katanya.Beliau menjelaskan, PDA diwujudkan bagi memastikan daya maju ekonomi industri minyak dan gas secara."PDA itu sendiri diwujudkan untuk memastikan sektor minyak dan gas negara kita ini bersaya saing di peringkat global. Ia bertujuan mewujudkan satu skala ekonomi dari segi kemahiran, tenaga kerja, sumber teknikal dan sebagainya," katanya.Beliau berkata, sekiranya struktur ekonomi berskala itu dipecahkan, kesannya akan melemahkan kekuatan industri minyak dan gas negara.Menurut Azli, jika isu tersebut dibawa tanpa penyelesaian menyeluruh, ia berpotensi menjejaskan kelebihan ekonomi negara dalam sektor minyak dan gas.Beliau menegaskan penyelesaian terbaik perlu bersifat menang-menang."Kena menang-menang. Cari jalan penyelesaian yang terbaik. Petronas tidak rugi, Sarawak juga tidak kehilangan keuntungan," katanya.Azli turut mengingatkan bahawa tuntutan tidak boleh dilihat secara terpisah daripada kerangka persekutuan yang lebih luas."Sarawak tidak boleh hanya melihat dari sudut MA63 satu-satu tuntutan mereka sahaja," katanya.Terdahulu, pada 10 Januari lalu, Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kejelasan kehakiman berhubung kerangka kawal selia yang mengawal operasi petroleum syarikat itu di Sarawak.Pada 23 Februari pula, kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi menentukan kesahan dan pemakaian berterusan PDA 1974 serta dua akta persekutuan lain di negeri berkenaan.Dalam kenyataan Pejabat Premier Sarawak, kerajaan negeri itu memaklumkan akta-akta persekutuan berkenaan menjejaskan hak Sarawak ke atas sumber asli termasuk minyak dan gas di pelantar benua dalam sempadan negeri seperti yang ditetapkan sebelum Hari Malaysia.Kenyataan itu turut menyebut bahawa walaupun petisyen telah difailkan, Sarawak kekal komited untuk meneruskan perbincangan konstruktif dengan kerajaan Persekutuan bagi mencapai penyelesaian yang mampu mengukuhkan perpaduan nasional serta kemakmuran bersama.