Muhyiddin sengaja tolak usaha satukan parti Melayu?

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa seperti sengaja menolak usaha untuk menyatukan parti Melayu susulan kenyataannya yang ‘berbunyi’ marah apabila ada ahli partinya bertemu parti lain.Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, sikap Muhyiddin yang seolah-olah tidak berminat terhadap permuafakatan dengan parti-parti besar di Malaysia juga menjadi penghalang kepada penyatuan politik Melayu."Jika ada yang nak tahu mengenai apa yang didakwa sebagai Bangkok Move, saya tak ada maklumat dan saya tak tahu."Tetapi pada pandangan saya, kita perlu bertemu sesiapa sahaja yang sudi untuk membincangkan mengenai penyatuan politik Melayu," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin pada Selasa lalu mengenai gerakan dalaman untuk merosakkan dan memecah-belahkan parti yang didakwa dilakukan oleh bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjadi antara punca utama pemecatannya daripada Bersatu.Kata Muhyiddin, Hamzah juga didakwa individu yang bertanggungjawab mengadakan pertemuan secara senyap dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuan rundingan tanpa pengetahuan serta kebenaran parti.Menurut beliau, terdapat banyak kesalahan lain yang dilakukan sehingga Lembaga Disiplin parti terpaksa mengambil tindakan drastik bagi mengelakkan masalah itu daripada terus berlaku."Kalau saya nak jelaskan, contoh satu bila Datuk Zahid Hamidi dalam satu perhimpunan pernah buat kenyataan bahawa dia sudah berjumpa dan berunding dengan Pas dan Bersatu. Ada yang kaitkannya Bangkok Move or something like that."Dalam kumpulan chat tu saya tanya: Who meet Zahid? Siapa jumpa Zahid? Siapa jumpa? Tak terjawab tapi saya ada maklumat yang sahih, Hamzah jumpa Zahid. Dalam parti kita ni, ada disiplin, ini isu besar," katanya dalam wawancara khas bersama media tempatan di Ibu Pejabat Bersatu.Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, secara umumnya beliau merasakan pendekatan Bersatu haruslah mengusahakan perpaduan parti besar Melayu di mana-mana peringkat.Beliau menegaskan, disebabkan itu adanya keperluan untuk bertemu semua pihak yang bersesuaian."Tetapi yang menjadi penghalang sebelum ini adalah Muhyiddin kerana dia bersikap seolah-olah tidak berminat terhadap permuafakatan dengan parti-parti besar di Malaysia. Malahan, hubungan baik dengan Pas pun beliau biar jadi rosak," dakwanya.Dalam masa sama, Wan Saiful mendakwa fokus Muhyiddin ketika ini lebih tertumpu kepada soal jawatan, khususnya apabila timbul dakwaan kononnya Hamzah akan diletakkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.Menurutnya, reaksi keras Muhyiddin terhadap dakwaan tersebut menimbulkan persoalan, lebih-lebih lagi jika beliau benar-benar mempunyai maklumat berkaitan perkara itu."Dia marah apabila ada orang tuduh Hamzah nak diletak sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kalau betul dia ada maklumat, buktikanlah," katanya.Tambah Wan Saiful, yang lebih menarik, umum mengetahui wujud usaha tertentu untuk mencalonkan Muhyiddin kembali sebagai Perdana Menteri, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar dalam isu jawatan dan kepimpinan."Kalau jawatan itu untuk dia, hukumnya boleh. Tetapi kalau jawatan itu untuk orang lain, salah pula?" sindirnya.