Empat sekawan tidak mengaku cederakan lelaki guna parang

GEORGE TOWN - Empat sekawan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki pada Februari lalu.G Kisheaan, 29, S Yogayoggan, 26; S Heganeswaran Servai, 28 dan K Sarvindran, 23 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Irwan Suainbon di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 pada Khamis.Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan berpakat jahat dan bersetuju untuk melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu mendatangkan cedera parah menggunakan senjata parang terhadap S Prashanraj, 33.Kesalahan jenayah itu didakwa dilakukan di hadapan pintu masuk bilik pameran Hyundai, Gurney Paragon Mall pada jam 8 pagi, 25 Februari lalu.Oleh demikian, perbuatan mereka itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 120b Kanun Keseksaan.Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong sementara kesemua tertuduh diwakili peguam, Lim Xian Zhi.Ketika awal prosiding pendakwaan, Jun Keong tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin."Saya juga mengambil kira kecederaan amat serius yang dialami mangsa yang mana, tangan kanannya telah dipotong akibat daripada kejadian tersebut."Selain itu, kejadian tersebut berlaku di tempat awam yang terdapat ramai orang selain berlaku pada waktu pagi. Implikasi kejadian bukan sahaja terhadap mangsa malah keselamatan masyarakat terutamanya rakyat Pulau Pinang."Kes ini juga melibatkan 'public interest' selain mangsa juga masih dirawat di hospital. Oleh demikian, saya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap keempat-empat tertuduh," katanya.Sementara itu, Xian Zhi dalam rayuannya meminta agar jaminan dikenakan terhadap keempat-empat anak guamnya walaupun mereka dituduh di bawah seksyen yang tidak memperuntukkan jaminan.Beliau juga memohon jaminan minimum sekiranya permohonan jaminan dibenarkan mahkamah berikutan kesemua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga."Tertuduh pertama berusia 29 tahun dan masih bujang. Bekerja di sebuah kedai menjual kelapa dengan pendapatan RM1,800 sebulan. Dia juga mengidap penyakit darah tinggi."Tertuduh kedua berusia 26 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tiga tahun. Bekerja sebagai tukang paip dengan pendapatan RM70 sehari."Tertuduh ketiga berusia 28 tahun dan masih bujang. Mengidap sakit jantung dan asma. Bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan bulanan RM2,300."Sementara tertuduh keempat, berusia 23 tahun, masih bujang dan bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan bulanan RM2,300," katanya.Tambah Xian Zhi, pihak pembelaan juga tidak mempunyai halangan sekiranya mahkamah menetapkan syarat tambahan terhadap kesemua tertuduh."Semua ahli keluarga tertuduh tinggal di Pulau Pinang dan oleh itu, tiada alasan atau bukti bahawa mereka mempunyai 'flying risk'."Tambahan pula, mereka telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan menyebabkan polis dapat menyiapkan siasatan dalam tempoh reman pertama," katanya.Jun Keong kemudiannya menyangkal dakwaan tersebut berikutan tertuduh kedua, ketiga dan keempat telah ditahan di sebuah hotel di Ipoh."Sekiranya mahkamah ingin memberi jaminan terhadap tertuduh, saya menawarkan jaminan RM30,000 setiap tertuduh."Selain itu, ia perlu disusuli dengan syarat tambahan iaitu kesemua tertuduh dilarang mendekati saksi pendakwaan terutamanya mangsa, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali," katanya.Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, Irwan membenarkan kesemua tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin.Beliau juga membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.Bagaimanapun Irwan berkata, sekiranya kesemua tertuduh melanggar syarat tambahan tersebut, jaminan yang diberikan akan terbatal.Kes ditangguh sehingga 15 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berusia 33 tahun cedera parah selepas diserang dan ditetak seorang lelaki di hadapan pintu masuk bilik pameran Hyundai, Gurney Paragon Mall, Jalan Kelawai di sini sebelum melarikan diri menaiki motosikal.Susulan daripada itu, polis menahan reman seorang wanita berusia 38 tahun pada Jumaat bagi membantu siasatan kes berkenaan.