Dua etnik Rohingya, lelaki tempatan didakwa angkut enam migran Myanmar

KOTA BHARU - Dua lelaki etnik Rohingya bersama seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyediakan pengangkutan kepada enam migran warga Myanmar yang diseludup di Kampung Manek Urai Baru,Kuala Krai pada bulan lalu.Ketiga-tiga tertuduh Muhammad Nurul Faqih Ab Talib, 38; Ahmad Boshu Rahman, 38; dan Asaraf Miya Abu Boshar, 48, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, namun tiada pengakuan direkodkan.Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyediakan pengangkutan kepada enam migran Myanmar yang diseludup dengan menggunakan sebuah kereta Perodua Alza.Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6 Februari lalu di tepi jalan Kampung Manik Urai Baru, Jalan Kuala Krai–Gua Musang, Kuala Krai pada jam 2.55 pagi.Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang diklasifikasikan sebagai kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara hingga 15 tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, bagaimanapun, tertuduh pertama diwakili peguam Mohd Zul Azhan Abu Bakar.Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 18 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.