Rebut kawasan sekuriti punca gaduh di balai polis

SHAH ALAM - Perebutan kawasan sekuriti di tapak perumahan dipercayai motif kekecohan dan pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Balai Polis Meru, Klang Isnin lalu.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kesemua suspek terlibat mengenali satu sama lain dan terlibat dalam geng kongsi gelap.Menurutnya, polis telah berjaya menahan kesemua lapan suspek lelaki tempatan membabitkan kes itu."Tangkapan pertama melibatkan lima suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun yang telah direman tiga hari sehingga 5 Mac sebelum dilanjutkan sehari lagi."Tangkapan kedua melibatkan dua lelaki berusia 39 dan 44 tahun dan telah direman tiga hari sehingga 6 Mac, manakala tangkapan ketiga membabitkan seorang lagi individu yang turut direman tiga hari sehingga 7 Mac," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Khamis.Beliau berkata, semakan rekod mendapati sebahagian daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah berat lampau merangkumi kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan bunuh), Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkumpulan) selain merusuh dengan senjata dan pecah rumah.Tambahnya, salah seorang suspek juga merupakan individu dikehendaki (wanted) di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.Katanya lagi, selain itu salah seorang suspek juga didapati positif dadah jenis benzo."Polis telah merampas satu topi keledar dan sebatang besi paip yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut," ujarnya.Tegas Shazeli, pihaknya akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang mencabar kedaulatan institusi kepolisan dan ketenteraman awam.Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Akta Polis 1967 selain Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.