Namewee akan kemuka representasi kaji pertuduhan miliki dadah, ubat jenis sildenafil

KUALA LUMPUR - Penyanyi rap Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee akan mengemukakan representasi bagi mengkaji dua pertuduhan memiliki dadah dan ubat jenis sildenafil, tahun lepas.Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor memaklumkan kepada Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim bahawa pihaknya akan menyerahkan representasi itu dalam tempoh seminggu."Sehubungan itu, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pihak pendakwaan memaklumkan mengenai representasi tersebut," katanya pada sebutan kes itu hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal.Atiqah kemudian menetapkan 8 April ini untuk pihak pendakwaan memaklumkan mengenai representasi berkenaan.Namewee, 43, didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat bersih 1.57 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay di sini pada 4.30 petang, 22 Okt tahun lepas.Pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dengan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Lelaki itu juga didakwa memiliki bahan jenis sildenafil berat bersih 0.78 gram di lokasi, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Pada 22 Disember tahun lepas, Majistret S Arunjothy melepas dan membebaskan Namewee daripada pertuduhan memberikan dadah ke dalam badannya, selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa keputusan patologi adalah negatif dan pihaknya menarik balik pertuduhan tersebut. - Bernama