Konflik AS-Iran: Bekalan makanan negara belum terjejas

PUTRAJAYA - Konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang berlaku di Asia Barat ketika ini belum menjejaskan keterjaminan bekalan makanan negara setakat ini kerana kebanyakan sumber import makanan Malaysia tidak melibatkan kedua-dua negara tersebut.Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara negara yang menyumbang kepada import makanan ke Malaysia ialah India, Pakistan, negara ASEAN, Australia, New Zealand, Brazil dan Argentina."Peperangan itu berlaku di Timur Tengah, negara-negara itu tidak banyak sebenarnya terlibat dengan hal makanan di Malaysia ini. Di sebelah sana banyak kita terlibat dalam eksport terutama sekali di Dubai."Setakat ini, kita belum terjejas apa-apa hal keterjaminan makanan, tapi kita tidak tahu berapa lama konflik ini akan berlaku. Kalau ia berpanjangan dan kita tahu bila berlaku kenaikan harga minyak kemungkinan akan berlaku kenaikan harga barangan import dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan Bersama Perdana Menteri di sini pada Khamis.Mohamad berkata, ketika ini stok fizikal beras semasa negara mampu menampung keperluan bagi tempoh lima ke tujuh bulan."Dari segi bekalan beras, kita memang ada stok penimbal. Kalau apa-apa terjadi, insya-Allah kita ada bekalan yang cukup untuk lima bulan, dan kalau kita ambil kira stok di kedai-kedai, ia cukup untuk tujuh bulan."Lain-lain itu memang kita ada langkah pengurusan krisis yang dah siap sedia, kalau apa-apa berlaku, kita akan bertindak," katanya.Sementara itu, Mohamad berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diadakan sebelum program berkenaan.Beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan ialah isu tatakelola dan tadbir urus sektor agromakanan, pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun, keterjaminan makanan negara dan soal akhlak pentadbiran. - Bernama