PETALING JAYA - Seorang lelaki meninggal dunia selepas kediamannya di Jalan Kenyalang, Kota Damansara di sini terbakar pada Khamis.Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.09 pagi.Menurutnya, pasukan penyelamat dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikerah ke lokasi dengan bantuan BBP Damansara."Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan rumah semi D dua tingkat kelas A berkeluasan 445.93 meter persegi (m²) dianggarkan musnah 40 peratus."Seorang mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 54 tahun ditemui tidak sedarkan diri di beranda tingkat atas kediaman itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Menurutnya, pasukan penyelamat telah membawa mangsa keluar sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).Ahmad Mukhlis berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.