KLANG - Tiga individu yang terlibat dalam insiden tembakan dan langgar di Jalan Keretapi Lama, Kapar di sini pada Khamis, mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.Kejadian kira-kira jam 9.51 pagi itu melibatkan dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan seorang lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila penunggang motosikal terbabit dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja kepada pemandu pacuan empat roda terbabit di Kampung Perepat, Klang.Menurutnya, pemandu pacuan empat roda itu kemudian bertindak mengejar motosikal terbabit sehingga ke Jalan Keretapi Lama."Pembonceng motosikal itu dipercayai telah mengacukan objek menyerupai pistol sebelum dilanggar pacuan empat roda terbabit hingga kedua-duanya terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar."Pembonceng itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Katanya, semakan rekod mendapati lelaki yang maut mempunyai 23 rekod lampau melibatkan pelbagai jenayah berat termasuk kes bunuh, cubaan bunuh dan samun berkumpulan.Tambahnya, penunggang yang cedera pula mempunyai 10 rekod jenayah serta berstatus orang dikehendaki di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.Jelas beliau, suspek seorang lelaki iaitu pemandu pacuan empat roda berusia 49 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan."Semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah di bawah Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan," ujarnya.Tegasnya, kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.Sinar Harian difahamkan pekerja kepada suspek tidak mengalami kecederaan.