Saya tak pernah minta RM2.8 juta - Zizie Izette

KUALA LUMPUR – Balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette A Samad memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, dia tidak pernah meminta wang pengenalan RM2.8 juta.Bekas pelakon drama ‘Spa Q’ berusia 48 tahun itu berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding bela diri atas tiga kes bersubahat di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.Menjawab soalan peguam, Ridha Abdah Subri, bekas pelakon itu berkata, tidak pernah menolak pemberian wang terbabit kerana ia tidak menyalahi undang-undang.Susulan itu, dia yang juga anak kelahiran Batu Pahat, Johor berkata, dia dengan rela hati menerima wang itu selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan."Saya tanya macam-macam pada ejen itu malah saya tengok, tiada benda yang tidak betul," kata pelakon terbaik dalam Anugerah Skrin dalam drama ‘Aduhai Esah’ pada tahun 2001 itu.Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamri mempersoalkan tindakan Zizie Izette, apabila tidak menolak pemberian wang mencecah jutaan ringgit itu.Zizie Izette: Sebelum terima wang itu, saya bertanya berkali-kali, macam mana dan duit dari mana, namun setelah difikirkan semua, saya tidak menolak.Pendakwaan: Ini kali pertama di mahkamah Datin Seri kata tidak menolak pemberian wang dari Norhaili.Zizie Izette: Selepas diyakinkan Norhaili, ya saya tidak menolak wang itu.Pendakwaan: Walaupun Datin Seri tahu, wang itu merupakan hasil daripada Felcra dan Norhaili.Zizie Izette: Selepas diambil kira segalanya, saya setuju (untuk menerimanya).Pendakwaan: Jadi Datin Seri tahu itu merupakan wang suapan dan bukannya wang pengenalan.Zizie Izette: Saya tidak setuju.Pendakwaan: Datin Seri ada tanda tangan sebarang borang perjanjian untuk menjadi orang yang memperkenalkan pihak lain, bagi menghalalkan wang pengenalan itu?Zizie Izette: Tidak pernah.Pendakwaan: Jika Datin Seri dan Norhaili berkawan kenapa perlu ada wang pengenalan, sedangkan Datin Seri hanya kenalkan suami pada seorang kawan.Zizie Izette: Kena tanya Norhaili sebab dia yang beri wang itu kepada saya, sedangkan saya tidak pernah minta, jadi saya tak boleh jawab saya minta maaf.Mohamad Fadhly kemudiannya mencadangkan, bahawa istilah wang pengenalan itu sebenarnya tidak wujud.Bagaimanapun, Zizie Izette yang juga saksi pembelaan kedua berkata tidak setuju.Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, memperoleh suapan RM2.2 juta daripada Madhi, iaitu mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi produk unit amanah Public Mutual Berhad.Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati di sini pada jam 12.30 tengahari dan 5.00 petang 12 Jun 2015.Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi, sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan sama.Kesalahan didakwa dilakukan melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh, di lokasi sama pada jam 12.16 tengahari 19 Jun 2015.Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memperoleh suapan RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequal Fund (PITSEQ) tertuduh sebagai upah kepada Bung Moktar bagi tujuan sama, di lokasi serupa pada jam 12.18 tengahari 19 Jun 2015.Semua pertuduhan dibuat mengikut perenggan 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.