SHAH ALAM - Lembaga pengarah portal berita Malaysiakini tampil membuat laporan polis berhubung pengalihan RM3 juta daripada anak syarikatnya kepada entiti pihak ketiga yang disyaki menjalankan skim pelaburan tidak berlesen.Lembaga Pengarah Kumpulan Mkini Sdn Bhd (Kumpulan Mkini) menerusi satu kenyataan berkata, tindakan itu dibuat setelah pihak mereka menjalankan siasatan dalaman dengan dibantu oleh penasihat undang-undang bebas dan perunding kewangan."Pengaliran dana berlaku antara Mac 2023 dan Mac 2024 dan dilakukan oleh bekas pekerja kanan Malaysiakini. Pengalihan itu tidak dikesan kerana akaun syarikat yang diaudit dari 2023 dan 2024 menyatakan dana tersebut berada dalam 'simpanan tetap yang diletakkan dengan bank berlesen'."Berikutan siasatan dalaman, wakil lembaga pengarah telah memfailkan laporan kepada polis dan lembaga pengarah telah memaklumkan pihak pengurusan serta kakitangan Malaysiakini tentang pelanggaran tersebut. Langkah pemulihan sedang dijalankan," katanya pada Khamis.Katanya, Lembaga Pengarah Kumpulan Mkini akan memberikan maklumat terkini selanjutnya apabila lebih banyak maklumat diperoleh tertakluk kepada kekangan siasatan dan litigasi yang sedang dijalankan.Sementara itu, pengasas bersama Malaysiakini, Steven Gan dan pengarah bukan eksekutif Kumpulan Mkini, Premesh Chandran melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap kes berkenaan."Kami amat kecewa dengan tindakan tanpa kebenaran ini. Dikhianati oleh sebahagian daripada kakitangan kami yang paling dipercayai adalah satu tamparan hebat."Kami bertekad untuk mendapatkan semula dana dan mengetatkan pengawasan bagi mengelakkan sebarang berulang," kata Syeven yang merupakan bekas ketua editor portal tersebut.Premesh, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Malaysiakini pula berkata, walaupun pengalihan dana telah menjejaskan kewangan syarikat, operasi teras portal berita itu kekal tidak terjejas."Dana tersebut telah dikumpulkan oleh Malaysiakini sejak sedekad yang lalu dan membentuk sebahagian besar daripada rizab kami."Mengalihkan dana ini, yang dilakukan oleh bekas rakan sekerja merosakkan daya tahan kami dengan teruk dan mengalihkan perhatian daripada misi kami untuk bercakap benar kepada pihak berkuasa," tambahnya.