MABA balas jasa skuad wanita Sukan SEA dengan kondominium

PERSATUAN Bola Keranjang Malaysia (MABA) memberikan ganjaran kepada pemain wanita negara atas kejayaan memenangi pingat emas berturut-turut pada Sukan SEA 2015 dan 2017 apabila menghadiahkan 19 unit kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, bernilai melebihi RM6 juta.MABA memaklumkan penerima manfaat terdiri daripada 16 pemain dan jurulatih daripada pasukan wanita Sukan SEA 2015-2017, bersama tiga kakitangan lama MABA sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka."Setiap unit kondominium berharga RM300,000, dengan tambahan RM30,000 diperuntukkan bagi kerja pengubahsuaian, menjadikan jumlah keseluruhan bagi 19 unit itu melebihi RM6 juta," menurut badan induk itu dalam kenyataan pada Khamis.Sebagai rekod, pasukan wanita itu sebelum ini meraih pingat emas pada 2015 dan 2017 apabila acara berkenaan dipertandingkan menggunakan format round robin, dengan pasukan yang menduduki tempat teratas pada akhir kejohanan memenangi pingat emas.Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata sekiranya skuad negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2027, unit kondominium akan terus diberikan sebagai insentif. - Bernama