Pergaduhan di Balai Polis Meru isu terpencil, tiada keperluan tambah baik SOP

MELAKA - Insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Balai Polis Meru, Klang pada Isnin lalu disifatkan sebagai kes terpencil dan tidak memerlukan penilaian semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di balai polis.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan polis sememangnya terlatih dalam menangani situasi seumpama itu.Beliau bagaimanapun kesal dengan pelaporan tidak tepat di media sosial yang menimbulkan keresahan awam berkaitan aspek keselamatan di balai polis."Cerita sebenar berbeza dengan sebahagian hantaran di media sosial yang mendakwa sekumpulan lelaki menyerang balai polis."Hakikatnya, dua kumpulan bergaduh di luar balai dan daripada pergaduhan itu satu kumpulan masuk ke balai polis untuk membuat laporan. Pihak satu lagi kemudian turut masuk bagi menghalang laporan dibuat," katanya.Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Iftar Jabatan Imigresen Malaysia 2026 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ayer Keroh di sini pada Khamis.Saifuddin berkata, situasi itu menyebabkan kekecohan berlaku di dalam balai polis dan tugas anggota ketika itu adalah untuk menenangkan keadaan."Balai polis berfungsi menerima aduan. Apabila satu pihak masuk untuk membuat laporan, polis perlu membuka kaunter dan menerima aduan."Ketika aduan dibuat, satu lagi pihak masuk dan cuba menghalang. Tugas polis ketika itu ialah mengawal keadaan dan anggota polis sememangnya terlatih untuk menangani situasi sedemikian," katanya.Saifuddin turut menegaskan bahawa pelaporan berita yang tepat dan sahih amat penting bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat."Ini hanyalah satu kes terpencil dan kita tidak boleh menilai keseluruhan tahap keselamatan balai polis hanya berdasarkan satu insiden."Kita mempunyai garis panduan seperti Inspector-General of Police Standing Orders (IGPSO) yang menjadi rujukan kepada semua balai polis di negara ini," katanya.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar pada Khamis berkata, perebutan kawasan sekuriti di tapak perumahan dipercayai motif kekecohan dan pergaduhan melibatkan dua kumpulan di balai polis berkenaan.Shazeli berkata, siasatan mendapati kesemua suspek terlibat mengenali satu sama lain dan terlibat dalam geng kongsi gelap.Susulan itu, polis telah menahan kesemua lapan suspek lelaki tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Akta Polis 1967 selain Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.