Kedai selamba jual ikan larangan digempur

KUALA LUMPUR - Deretan premis di Pasar Pudu di sini yang menjual secara terbuka pelbagai spesies kura-kura selain ikan larangan antaranya arapaima, sturgeon dan flower horn digempur pada Khamis.Operasi bersepadu dijalankan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan kerjasama Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).Pengarah Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Suhanah Kassiron berkata, operasi dijalankan bermula kira-kira jam 11 pagi ke atas enam premis ikan hiasan.Menurutnya, DOF telah menyita pelbagai spesies ikan larangan termasuk arapaima, sturgeon, midas, Peacock bass, udang kara cambaridae, baung ekor merah amazon, pacu dan flowerhorn."Keseluruhan ikan larangan dirampas ialah 675 ekor bernilai RM35,674."Spesies ini dilarang kerana sifatnya yang invasif dan berisiko tinggi menjejaskan biodiversiti perairan serta menggugat populasi ikan asli tempatan sekiranya terlepas ke perairan," katanya dalam sidang akhbar di Balai Pudu selepas operasi di sini pada Khamis.Tambahnya, modus operandi premis ialah mendapatkan bekalan ikan larangan dari tempat di seluruh negara.Katanya, harga ikan larangan itu berbeza harga bergantung spesies di mana bagi seekor arapaima yang dirampas pihaknya dianggarkan bernilai RM300 seekor, manakala flower horn mencecah kira-kira RM250 seekor."Arapaima spesies yang cepat membesar dan kebiasaan dilihat di tempat rekreasi," ujarnya.Kata Suhanah, kesemua enam premis yang diserbu telah melakukan kesalahan tidak mempunyai permit dan lesen untuk menjalankan aktiviti akuakultur."Kita juga mengambil keterangan pemilik premis terbabit bagi siasatan di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan 2017," ujarnya.Jelasnya, kesemua ikan yang disita akan ditempatkan di Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor bagi tujuan tindakan lanjut.Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan permintaan tinggi musim perayaan ke atas spesies ikan larangan."Risikan mendapati ikan awal yang dijual telah tiada pada hari ini (operasi) menandakan spesies itu dipercayai telah dibeli," ujarnya.Sementara itu, Timbalan Komander WCB/PSK JKDNKA Superintenden Mohd Redzuan Zainul Abidin berkata, sebanyak 304 ekor spesies kura-kura dan labi-labi dianggarkan bernilai RM300,000 turut dirampas dalam serbuan terbabit."Semasa serbuan terdapat cubaan pekerja premis cuba memindahkan ikan larangan ke akuarium lain."Namun tindakan itu berjaya dikesan pasukan serbuan," ujarnya.Operasi turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunjukkan komitmen DOF dalam meningkatkan tahap kepatuhan premis serta memperkukuh kawalan terhadap peredaran spesies asing demi melindungi ekosistem perairan serta menjamin kelestarian sumber perikanan negara.