'Rasa tidak puas hati rakyat cetus isu Blok Borneo’ - Zulkarnain

KOTA KINABALU - Isu ‘Blok Borneo’ didakwa timbul susulan rasa tidak puas hati segelintir rakyat Sabah dan Sarawak terhadap jurang pembangunan yang masih ketara berbanding negeri-negeri di Semenanjung.Menurut Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, masih banyak kawasan di kedua-dua negeri itu berdepan cabaran kemudahan asas serta peluang ekonomi yang terhad walaupun Sabah dan Sarawak kaya dengan sumber asli."Walaupun Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli seperti minyak, gas dan pelbagai hasil bumi, namun masih terdapat banyak kawasan yang berhadapan dengan cabaran kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, infrastruktur jalan raya serta peluang ekonomi yang terhad."Perbincangan mengenai ‘Blok Borneo’ yang timbul kebelakangan ini juga berpunca daripada rasa kurang senang dalam kalangan rakyat serta sebahagian pimpinan negeri terhadap isu pembangunan dan pembahagian hasil yang berkait rapat dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan tuntutan Sabah terhadap hak 40 peratus hasil negeri termasuk daripada sumber minyak dan gas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang dilaporkan Sinar Harian berhubung penegasannya bahawa tidak wujud ‘Blok Borneo’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.Tambahnya, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan asas kepada pembentukan Malaysia dan menjadi landasan kepada kedudukan Sabah serta Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan."Oleh itu, sebarang perbincangan mengenai kerjasama antara Sabah dan Sarawak harus dilihat sebagai refleksi aspirasi rakyat yang mahukan pembangunan lebih seimbang serta penghormatan terhadap hak-hak yang telah dipersetujui sejak penubuhan Malaysia."Apa yang rakyat Sabah dan Sarawak mahukan sebenarnya bukanlah pemisahan daripada Malaysia, tetapi keadilan pembangunan, pengagihan hasil yang lebih seimbang serta pelaksanaan yang lebih menyeluruh terhadap semangat perjanjian yang menjadi asas pembentukan negara ini," katanya.Beliau menegaskan Malaysia akan terus kukuh sekiranya kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pimpinan politik dapat bekerjasama secara matang serta konstruktif bagi memastikan pembangunan Sabah dan Sarawak bergerak seiring dengan negeri lain."Perpaduan negara tidak akan terjejas apabila suara rakyat Sabah dan Sarawak didengar."Malaysia akan menjadi lebih kuat apabila setiap wilayah merasakan mereka dihormati, dihargai dan mendapat manfaat pembangunan secara adil serta seimbang dalam Persekutuan," katanya.